BAM mahu jadi tuan rumah terbaik Piala Sudirman: Kenny Goh
KUALA LUMPUR, SABTU, 18 Mei, 2013: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memberikan jaminan akan menjadi tuan rumah terbaik Kejohanan Piala Sudirman edisi ke-13 yang bermula esok di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini.
Pengurus Besarnya, Kenny Goh, berkata mereka akan memastikan semua negara yang bertanding pada kejohanan campuran terbesar dunia itu mendapat layanan yang baik sepanjang pertandingan selama seminggu itu.
Beliau berkata, sistem pencahayaan di stadium itu akan dipertingkatkan bagi keselesaan pemain menampilkan aksi terbaik masing-masing.
Ketika ditemui Bernama selepas mesyuarat pengurus pasukan di sini, hari ini, Goh berkata segala persiapan diatur dengan sebaik mungkin bagi memastikan kejohanan itu dapat berjalan lancar.
Beliau turut meminta peminat tempatan membanjiri stadium bagi memberikan sokongan padu kepada skuad negara.
Hanya 12 daripada 30 pasukan keseluruhan pada kali ini akan bersaing untuk merebut kejuaraan manakala bakinya bertanding untuk merebut slot tunggal ke divisyen satu dan dua.
Malaysia berdepan laluan selesa sekurang-kurangnya sehingga ke peringkat suku akhir selepas diundi dalam kumpulan C bersama Jerman dan Taiwan.
Malaysia akan membuka kempen dengan menentang Taiwan, esok sebelum bertemu Jerman dua hari kemudian.
Pencapaian terbaik negara pada kejohanan dwtahunan itu mara ke separuh akhir pada edisi 2009 di Guangzhou, China. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment