Tiga jalan di KL sesak hampir 5 jam akibat pasir bertaburan
KUALA LUMPUR, SABTU, 18 Mei, 2013 Jalan Pahang menghala ke Setapak di sini hari ini mengalami kesesakan teruk hampir lima jam apabila sebuah lori membawa pasir tidak mengikat kemas kanvasnya menyebabkan pasir yang dibawa bertaburan di atas jalan raya.
Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi tadi, pasir yang bertaburan di atas jalan raya menyebabkan jalan menghala ke Jalan Tun Razak di dua-dua bahagian, Jalan Genting Klang dan Gombak mengalami kesesakan teruk.
Jurucakap trafik Kuala Lumpur ketika dihubungi Bernama berkata, lori yang membawa pasir itu mungkin tidak mengikat kanvas dengan elok menyebabkan pasir bertaburan di atas jalan raya.
"Setakat ini tiada sebarang kemalangan dilaporkan," katanya sambil menambah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang giat membersihkan kawasan tersebut bagi memudahkan aliran trafik.
Tinjaun mendapati keadaan trafik sesak menyebabkan penumpang teksi tidak menyambung perjalanan mereka, malah mereka rela berjalan kaki ke destinasi ditujui kerana bimbang kos tambang meningkat.
Bagaimanapun jurucakap itu berkata, bahagian Jalan Genting Klang yang terjejas akibat kejadian itu dibuka semula untuk lalu lintas pada 4.50 petang tadi. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment