My Add

Friday, 17 May 2013

Bomba bantuan bakal diwujudkan
*WAN Mohd. Nor Ibrahim (kiri) menyampaikan sijil dan replika cek kepada seorang pegawai bomba pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2012 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Melaka, di Banda Hilir, Melaka, semalam.
MELAKA. KHAMIS, 16 Mei, 2013: Jabatan
Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan mewujudkan cabang perkhidmatan baharu yang memberi peluang kepada orang awam untuk turut serta dalam bidang kebombaan iaitu menerusi penubuhan bomba bantuan tidak lama lagi.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohd. Nor Ibrahim berkata, draf mengenai pelaksanaan bomba bantuan itu sedang dikemaskini bagi memasukkan beberapa elemen penting antaranya aspek perundangan dan pembayaran elaun sebelum diserahkan kepada kerajaan untuk kelulusan.

Menurutnya, draf berkenaan hampir siap dan perbincangan mengenai penubuhan pasukan bantuan itu juga giat dijalankan dengan beberapa agensi bagi memastikan pelaksanaan pasukan tersebut tidak menimbulkan sebarang masalah.

"Sebelum melaksanakan penubuhan pasukan bomba bantuan ini, JBPM perlu mengkaji dan memperhalusi beberapa perkara penting antaranya aspek perundangan, tata cara pengambilan anggota, pembayaran elaun dan beberapa perkara lagi supaya tidak timbul sebarang masalah kemudian hari.

"Setakat ini draf mengenai penubuhan pasukan bantuan hampir siap dan akan diserahkan kepada kerajaan untuk kelulusan," katanya kepada pemberita selepas majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2012 JBPM negeri di Banda Hilir di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengarah JBPM negeri, Zainuddin Md. Alip dan Timbalannya, Sohaimi Mohamed.

Pada majlis itu, seramai 11 anggota dan pegawai bomba dianugerahkan Pingat Setia Bomba, 30 dianugerahkan Pingat Cemerlang Bomba dan 37 lagi menerima Sijil Khidmat Cemerlang selain turut meraikan 12 pesara dari seluruh negeri ini.

Terdahulu, Wan Mohd. Nor dalam ucapannya menyeru seluruh anggota dan pegawai bomba supaya meningkatkan prestasi kerja bagi memastikan JBPM mampu bersaing dengan jabatan bomba di negara maju.

"Kepimpinan JBPM telah menetapkan hala tuju kepada setiap anggotanya iaitu untuk menjadi sebuah organisasi yang hebat iaitu sebuah organisasi yang berprestasi tinggi.

"Bagi mencapai matlamat ini, setiap anggota dan pegawai perlu keluar dari zon selesa dan mengubah sikap dengan menolak amalan tidak berintegriti, penyalahgunaan kuasa dan tidak responsif terhadap pelanggan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment