My Add

Friday, 17 May 2013

3,000 produk IKS dipaten di bawah satu jenama

 *SAIPOLBAHARI Suib (dua dari kanan) menyampaikan hadiah kepada seorang penerima anugerah semasa majlis perasmian Kelab Usahawan RISDA Negeri Johor di Bangunan RISDA, Bandar Baru UDA, Johor Bahru, semalam.
JOHOR BAHRU, KHAMIS, 16 Mei, 2013: Hampir 3,000 produk yang dihasilkan oleh usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) akan dipatenkan di bawah satu jenama bagi tujuan komersial dan menaik taraf ekonomi pengusahanya.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Datuk Saipolbahri Suib berkata, produk terpilih tersebut akan diberi jenama Cap Peladang sebagai langkah permulaan untuk dimensi baru IKS tanah air.

"Ini adalah peluang bagi setiap ahli di bawah Nafas mengembangkan perniagaan mereka selain mewujudkan satu sentimen yang boleh menyatukan mereka di bawah satu jenama. Penjenamaan itu juga membolehkan produk dipasarkan dengan lebih teratur dan mudah dikenali pelanggan.

"Ia seterusnya akan memberi kekuatan kepada para usahawan tempatan dalam rangkaian ekonomi, sekali gus meningkatkan lagi daya saing pengusaha produk tempatan dalam pasaran untuk menghasilkan produk berkualiti tinggi," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan penubuhan Kelab Usahawan RISDA Negeri Johor (RISEC), di pejabat RISDA negeri, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Saipolbahri memberitahu, menerusi 276 outlet Nafas yang dimiliki di seluruh negara, penjenamaan itu amat bermakna apabila turut menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, sekali gus membendung masalah pengangguran.

Mengulas penubuhan RISEC, beliau yakin ia relevan kerana penyatuan usahawan di bawah satu pertubuhan mampu memberi momentum yang baik kepada pengusaha untuk menjana ekonomi yang stabil.

Saipolbahri turut menyarankan supaya para usahawan melabur dalam Dana Peladang Kebangsaan dengan memperoleh 10 hingga 20 peratus keuntungan setiap tahun, di samping boleh membuat pinjaman semula.

"Saya turut memberi sumbangan sebanyak RM30,000 kepada RISEC untuk memudahkan perjalanan kelab berkenaan melakukan aktiviti yang mampu memberi manfaat kepada ahlinya," katanya.

Pada masa sama, beliau mengucapkan tahniah kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang baharu iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas pelantikannya.

"Saya berharap, beliau mampu melakukan satu bentuk transformasi yang lebih bagus khususnya kepada Nafas bagi membantu kejayaan yang lebih cemerlang bagi ahli pertubuhan ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment