Delegasi Malaysia ke AS jana projek RM5.5 bilion
KUALA LUMPUR, SELASA, 21 Mei, 2013: Sebanyak 29 delegasi perniagaan dan agensi kerajaan dari Malaysia berjaya menjana jualan produk dan projek bernilai RM5.5 bilion pada Persidangan Teknologi Luar Pantai (OTC) Houston, Texas, Amerika Syarikat baru-baru ini.
Delegasi perniagaan dari Malaysia terdiri daripada syarikat-syarikat minyak dan gas dan OTC 2013 yang berlangsung selama empat hari bermula 6 Mei lalu.
Delegasi dari Malaysia diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Dr. Wong Lai Sum.
Lai Sum berkata, ruang pameran Malaysia meliputi pemain-pemain utama industri minyak dan gas, termasuk pengusaha kecil dan sederhana (PKS) dalam bidang berkaitan.
Katanya, sangat memberangsangkan apabila PKS Malaysia telah berjaya menjana jualan dan projek bernilai RM889 juta.
Beliau turut mencadangkan supaya PKS tempatan menjalankan kerjasama antara satu sama lain bagi mencapai skala ekonomi yang tinggi dalam industri.
"Sebanyak dua syarikat Malaysia telah membanggakan nama negara pada OTC 2013 iaitu Deleum Bhd. (Deleum) dan Wasco Energy Group (Wasco).
"Deleum telah dipilih OTC untuk membentangkan kertas kerja teknikal, manakala Wasco telah dianugerahkan Anugerah Tumpuan OTC 2013 bagi kategori bahan baharu Neptune," katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan Matrade di sini hari ini.
OTC 2013 merupakan satu majlis ulung untuk industri minyak dan gas dan menjadi platform untuk produk-produk luar pantai dan syarikat perkhidmatan untuk mengendalikan perniagaan dan meneroka teknologi baharu.
Malaysia telah terpilih buat pertama kali untuk menjadi negara tuan rumah Asia pertama untuk menganjurkan OTC 2014 pada 25 sehingga 28 Mac tahun depan.
OTC 2014 akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Lai Sum menambah, Matrade akan menempah sebanyak 25 ruang pameran khas untuk PKS tempatan mengambil bahagian pada OTC 2014 itu. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment