Demonstrasi di luar negara cemar imej rakyat
KUALA LUMPUR, RABU, 22 Mei, 2013: Imej rakyat Malaysia yang terkenal dengan ketinggian budi bahasa tercemar berikutan tindakan sekumpulan rakyat negara ini mengadakan demonstrasi membantah kerajaan di luar negara.
Presiden Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi), Mohd. Shahar Abdullah berkata, tindakan biadab penyokong pembangkang itu turut memberi gambaran negatif terhadap kerajaan dari kaca mata masyarakat antarabangsa.
Sehubungan itu, tambah beliau, kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap rakyat Malaysia yang melakukan perbuatan memalukan negara tersebut supaya tidak berulang pada masa depan.
"Pihak kedutaan perlu memantau rakyat Malaysia yang biadab itu dan mengambil tindakan secepat mungkin kerana perbuatan mereka hanyalah berlandaskan sentimen politik," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, akhbar melaporkan sekumpulan rakyat Malaysia yang menetap di London didakwa memburukkan nama negara selepas bertindak mengadakan demonstrasi jalanan membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 di beberapa kawasan di bandar raya berkenaan.
Perkara tersebut didedahkan blog MIK di http://medan-info-kita.blogspot.com yang mendapat maklumat tentang gerakan jahat itu dipercayai diketuai dua individu.
"Secara terang-terangan mereka menyatakan sokongan terhadap pembangkang dan mempersoal kesahihan jawatan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri," jelas blog tersebut.
Sementara itu, Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Anuar Manap menyifatkan tindakan sekumpulan rakyat Malaysia di London tersebut tidak rasional dan memperlihatkan kecetekan minda mereka.
"Mereka tidak sedar kekecohan yang ditimbulkan itu menjadi bahan tontonan seluruh masyarakat dunia menerusi laman media sosial.
"Keghairahan mereka memperjuang kebebasan bersuara secara tidak langsung telah menggadai nama baik negara sendiri," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment