Didik bahasa Arab dalam kalangan kanak-kanak
MELAKA. AHAD, 19 Mei, 2013: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Perpustakaan Sekolah-sekolah Melaka (Pustakam) dalam memasarkan koleksi buku, Indahnya Bahasa Arab bagi meningkatkan pengetahuan bahasa itu dalam kalangan kanak-kanak.
Pengurus Kanan Penerbitannya, Faridah Shamsudin berkata, koleksi tersebut mengandungi sembilan siri yang sesuai untuk pembelajaran kanak-kanak sekolah tahap satu hingga tiga.
Katanya, kesemua koleksi yang berharga RM9.90 senaskah (Semenanjung) dan RM12.90 bagi Sabah dan Sarawak itu mengandungi halaman-halaman berwarna dilengkapi gambar bagi memudahkan pemahaman kanak-kanak menguasai ungkapan dan istilah yang digunakan.
"Menariknya, koleksi ini bukan hanya sesuai dibaca oleh kalangan kanak-kanak Melayu tetapi kita menggunakan watak-watak pelbagai bangsa dalam setiap koleksi bagi menarik minat kanak-kanak kaum lain termasuk India dan Cina untuk turut sama belajar memahami bahasa Arab.
"Sebelum ini kita pernah bekerjasama dengan Pustakam dan kali ini Pustakam berperanan menggalakkan sekolah-sekolah di negeri ini untuk membeli koleksi ini bagi tujuan pembelajaran murid-murid mereka," katanya.
Beliau ditemui selepas sesi pelancaran koleksi Indahnya Bahasa Arab oleh Ketua Menteri, Datuk Idris Haron pada majlis sambutan Hari Guru 2013 peringkat negeri di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini semalam.
Yang turut hadir, Pengurus Besar, Operasi dan Kewangan Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd., Rozita Yusoff.
Kata Rozita, kesemua koleksi bukan hanya mudah dipelajari malah memberi penekanan terhadap asas pertuturan dan perkataan.
Katanya, koleksi buku tersebut kini dalam proses diedarkan ke seluruh negara. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment