My Add

Monday, 20 May 2013

Syor kerajaan 'bongkar' sejarah VAT69

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR

IPOH, AHAD, 19 Mei, 2013: Kerajaan dicadang mengkaji secara mendalam sejarah perjuangan komando Polis Diraja Malaysia (PDRM), VAT69 dengan 'membongkar' khazanah catatan lama di The National Archives, London supaya pengorbanan anggota pasukan itu diketahui serta dihargai masyarakat antarabangsa.

Pengarah Sektor Swasta Institut Integriti Malaysia (IIM), Mohd. Nizam Mohd. Ali yang terlibat dalam projek dokumentasi sejarah warisan darah perwira sewaktu pelancaran Pelan Integriti Polis berkata, kajian tersebut juga harus dirakam dan dialih bahasa dalam beberapa bahasa utama dunia.

Beliau percaya banyak sejarah lama membabitkan komando VAT69 tersimpan di pusat arkib berkenaan.

"Banyak sumber dokumentasi yang disimpan di sana bukan lagi rahsia selepas tempoh 50 tahun.

"Malaysia baru berusia 57 tahun dan bahan kita masih banyak lagi berstatus rahsia terutama yang melibatkan Parti Komunis Malaysia (PKM) serta pertempuran-pertempuran terdahulu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Persatuan Veteran VAT69 Kali Keenam di Kem Pasukan Gerakan Khas (PGA) Ulu Kinta di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Datuk Mohd. Rani Abd. Rashid turut dilantik menjadi Yang Dipertua Persatuan Veteran VAT69 yang baharu bagi penggal 2013-2014.

Dalam pada itu, Mohd. Nizam juga mencadangkan supaya komando VAT69 dianugerahkan gelaran penghormatan panji-panji negara yang juga lambang kehormatan bagi sesuatu formasi.

Katanya, barisan kepemimpinan negara termasuk Majlis Raja-Raja juga diharap dapat memberi perkenan dalam usaha memartabatkan perjuangan unit pasukan keselamatan negara itu yang dianggap antara tonggak utama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"IIM telah melakukan kajian kerjasama bersama Muzium Polis Diraja Malaysia dan Arkib Negara Malaysia dengan merakamkan kisah-kisah kepahlawanan dalam kalangan jabatan PDRM sejak 2008 dan kita telah mengenal pasti VAT69 sebagai unit yang berintegriti.

"Ini disebabkan mereka melaksanakan tugasan operasi PDRM tanpa meminta sebarang balasan pengiktirafan dan mereka membuat kerja secara ikhlas, yang penting, tugasan selesai," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment