EXCO Belia Pahang akan turun ke semua daerah bertemu golongan belia
KUANTAN, SELASA, 28 Mei, 2013: Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pahang, Datuk Mohd Johari Hussain akan turun ke semua daerah dalam usaha merapatkan hubungan dengan golongan belia di negeri ini.
Beliau berkata, pertemuan yang diadakan itu mungkin akan dibuat mengikut giliran sebulan sekali untuk satu daerah yang secara langsung akan dapat mendekatkan golongan itu dengan pentadbiran kerajaan negeri.
"Dalam pertemuan itu, saya akan memberi tumpuan kepada pentadbiran dan pengurusan persatuan-persatuan belia selain taklimat yang akan disampaikan oleh wakil belia.
"Kami akan mengadakan pertemuan secara lebih santai kerana saya faham golongan ini tidak gemar dengan pertemuan yang terlalu protokol," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Beliau berkata, melalui pertemuan itu, beliau mengharapkan golongan berkenaan dapat melontarkan sentuhan dan idea baru untuk dikembangkan dengan bantuan kerajaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri Tioman itu juga bercadang menjadikan Pulau Tioman sebagai pusat pembangunan belia dan beliawanis bagi aktiviti riadah dan santai yang lain. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment