My Add

Friday, 24 May 2013

Ibu Sosilawati puas hati pembunuh dihukum

BATU PAHAT, KHAMIS, 23 Mei, 2013: "Dulu engkau bunuh anak aku, sekarang engkau pula dihukum bunuh," demikian reaksi ibu jutawan kosmetik, Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya ketika mengulas mengenai keputusan perbicaraan pembunuhnya anaknya.

Ketika ditemui di rumahnya di Kampung Seri Menanti, Sri Medan di sini, Yatmah Abdul Rahman, 83, berkata, dia berpuas hati dengan hukuman yang dikenakan terhadap pembunuh anaknya.

Katanya, dia sekeluarga juga mendoakan hukuman itu dijatuhkan kepada penjenayah berkenaan bagi memastikan mereka mendapat balasan setimpal dengan kejahatan yang dilakukan.

Sementara itu, adik Allahyarham Sosilawati, Rosnani, 47, berkata, dia bersyukur kepada Allah dengan keputusan berkenaan.

"Dengan keputusan yang adil dan setimpal itu, kami sekarang seperti telah mengetahui siapa pembunuh sebenar dan bertanggungjawab terhadap kehilangan Sosilawati.

"Tiga tahun kami menunggu hukuman ini, sehingga saya sendiri berdoa di hadapan Kaabah ketika menunaikan ibadat haji tahun lalu supaya pembunuh terbabit dijatuhkan hukuman mati dan kini Allah SWT telah memakbulkan doa saya," katanya.

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memerintahkan bekas peguam, N. Pathmanabhan, 47, dan tiga pekerja ladangnya dihukum gantung sampai mati selepas didapati bersalah atas tuduhan membunuh Sosilawati; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin; pegawai bank, Noorhisham Mohamad, 38; dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim.

Tiga pekerja ladang yang turut dikenakan hukuman gantung itu ialah Thilaiyalagan, 21, R. Matan, 22, dan R. Kathavarayan, 32.

Mereka yang dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori didakwa melakukan perbuatan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Menurut Yatmah, keluarganya juga menyifatkan Mahkamah Tinggi Shah Alam telah memberi keadilan yang sewajarnya terhadap Allahyarham Sosilawati.

"Walaupun kami turut sedih dengan apa yang berlaku tetapi keputusan hari ini boleh dianggap sebagai penyembuh kepada luka yang dirasai selama ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment