My Add

Friday, 24 May 2013

Kematian adik saya dapat pembelaan - Zaidah

KUANTAN, KHAMIS, 23 Mei, 2013: Keluarga kepada Kamaruddin Shamsuddin, 44, yang mati dibunuh dengan kejam bersama jutawan kosmetik terkenal, Datuk Sosilawati Lawiya melahirkan rasa syukur kerana doa mereka selama ini agar penjenayah tersebut mendapat pembalasan setimpal dimakbulkan.

Kakak Kamaruddin, Zaidah, 54, berkata, dia percaya keadilan sentiasa dapat ditegakkan meskipun keputusan tersebut tidak akan mengembalikan arwah adiknya itu.

“Syukur kepada Allah SWT. Akhirnya kematian adik saya diberi pembelaan yang sewajarnya. Penantian kami sekeluarga selama empat tahun berakhir dengan keputusan hari ini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Indera Mahkota di sini hari ini.

Menurutnya, dia sekeluarga merancang mengadakan majlis tahlil malam ini sebagai tanda kesyukuran di atas keputusan mahkamah hari ini.

“Selepas ini kami sekeluarga akan dapat meneruskan kehidupan seperti biasa dan anak bongsu arwah, Irfan Aiman, 11, yang dijaga oleh saya dapat hidup dengan lebih tenteram," katanya.

Zaidah juga berharap pihak berkaitan segera mengeluarkan surat mati Kamaruddin untuk memudahkan urusan membuat tuntutan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan insurans bagi meringankan beban mereka menyara anaknya.

“Kami sekeluarga mengalami kesukaran untuk menyediakan perbelanjaan tiga anak arwah adik saya. Kamaruddin ada meninggalkan sebuah studio dan apabila dia tiada, kami adik-beradik yang menguruskannya.

“Namun, pendapatannya tidak banyak seperti ketika dia menguruskannya dahulu sehingga kami terpaksa menambah sendiri perbelanjaan untuk anaknya," jelasnya.

Sementara itu, seorang lagi kakak arwah, Ramlah, 52, berkata, setakat ini keluarganya belum lagi memberitahu keputusan mahkamah itu kepada ibu mereka, Zainab Ahmad, 76, kerana takut mengganggu kesihatannya.

“Kena bagi tahu dengan perlahan-lahan kerana takut ibu terkejut. Memang sebelum ini ibu selalu teringatkan arwah.

“Kami adik beradik pun ibu selalu pesan jika mahu keluar ke mana-mana kena berhati-hati takut jadi macam arwah," katanya. - UTUSAN

d

No comments:

Post a Comment