My Add

Monday, 20 May 2013

Idris Haron lepas jawatan pengerusi SPNB

MELAKA, ISNIN, 20 Mei, 2013: Datuk Idris Haron hari ini mengumumkan telah melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) berkuat kuasa 15 Mei lalu.

Beliau yang memegang jawatan itu selama lebih tiga tahun, berkata keputusan berkenaan dibuat bagi membolehkannya menumpukan tugas sebagai Ketua Menteri Melaka.

"Tugas ketua menteri memerlukan penumpuan yang lebih terhadap rakyat dan memajukan negeri Melaka, elok dilepaskan (Pengerusi SPNB) memandangkan masa dan tugas yang berat," katanya di sini, hari ini.

Katanya, langkah itu juga bagi memberi peluang kepada muka baharu untuk memegang jawatan tersebut dan memberi idea baru dalam memacu SPNB ke tahap lebih cemerlang.

Idris yang sebelum ini Ahli Parlimen Tangga Batu, dilantik sebagai Pengerusi SPNB berkuatkuasa pada 1 April 2010 menggantikan Senator Datuk Azlan Osman.

Pada pilihan raya umum ke-13 lepas, Idris bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Sungai Udang dan menewaskan calon PKR, Asri Buang dengan majoriti 9,136 undi.

Beliau mengangkat sumpah Ketua Menteri Melaka ke-10 pada 7 Mei lalu menggantikan Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang memegang jawatan itu selama 13 tahun. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment