Jangan perlekeh Perkasa - Ibrahim Ali
KUALA LUMPUR, AHAD, 19 Mei, 2013: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) memberi amaran kepada pembangkang berhenti memperlekeh pertubuhan itu berhubung pelantikan Pengerusi Barisan Bertindak Hak Penganut Hindu (Hindraf), P. Waythamoorthy sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, Perkasa menghormati keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melantik Waythamoorthy dan yakin pemimpin itu mampu membawa perubahan besar kepada kedudukan sosioekonomi masyarakat India.
Menurutnya, keputusan Najib untuk tidak melantik mana-mana pemimpin Perkasa dalam barisan Kabinet baharu tidak sepatutnya menjadi isu kerana perjuangan Perkasa bukan bagi mengejar jawatan.
"Tindakan tidak bermoral ahli-ahli pembangkang melaga-lagakan Hindraf dan Perkasa membuktikan sikap sebenar mereka yang sakit jiwa kerana terus menjadikan kami sasaran dalam pelbagai isu.
"Amat melucukan kerana pembangkang menyindir dan memperlekeh Perkasa termasuk mendakwa kami 'dibakulsampahkan' dalam pembentukan Kabinet kali ini sedangkan kami tidak pernah beranggapan begitu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan blog pembangkang yang memperlekeh Perkasa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu lain dengan mendakwa suara mereka diketepikan kerajaan berikutan pelantikan Waythamoorthy dalam Kabinet. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment