My Add

Monday, 20 May 2013

Kampung tersusun atasi masalah rumah


 *MUKHRIZ Tun Dr. Mahathir mencukur rambut seorang ahli UMNO, Md. Jelani Bidin (duduk) yang bernazar untuk membotakkan kepalanya setelah BN merampas kembali Kedah di Pejabat UMNO Bahagian Pendang, semalam. Turut kelihatan Othman Abdul (kiri). - BERNAMA

PENDANG, AHAD, 19 Mei, 2013: Masalah pemilikan rumah di kalangan rakyat akan diatasi dengan mewujudkan perkampungan tersusun di setiap daerah seluruh negeri ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, usaha tersebut merupakan salah satu pendekatan kerajaan negeri memperhebatkan pembinaan rumah untuk dimiliki sebagai menunaikan aku janji Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

"Kita akan mengenal pasti sebidang tanah yang keluasan mencukupi untuk bina 100 sehingga 200 rumah seperti kampung tersusun di Changlun dan Kelubi di Kubang Pasu. Rumah ini akan dijual kepada pemohon pada kadar berpatutan dengan subsidi daripada kerajaan Pusat.

"Kerajaan negeri peka dengan masalah rakyat yang masih tidak mempunyai rumah termasuk di luar bandar. Dalam manifesto BN kita juga berjanji untuk bina rumah jadi janji ini kita akan tepati," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis kesyukuran meraikan kemenangan BN (BN) pada PRU-13 di Pejabat UMNO Pendang di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan, Badrol Hisham Hashim; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan, Datuk Suraya Yaacob yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang; Ahli Parlimen Pendang, Datuk Othman Abdul dan Ketua UMNO Bahagian Pendang, Datuk Rozai Shafian.

Kata Mukhriz, kerajaan negeri akan mengenal pasti lokasi bersesuaian bagi pembinaan rumah tersebut sebagai projek perintis sebelum diperluaskan ke daerah lain.

"Kita akan kaji pendekatan untuk mewujudkan perkampungan ini dan ia berjaya dilaksanakan di Gua Musang Kelantan sebelum ini namun di Kedah kita akan laksanakan ikut kesesuaian penduduk. Kita mempunyai banyak tanah terbiar dan jika tiada kita akan tengok pendekatan lain pula," katanya.

Selain itu, menurutnya, beberapa pendekatan lain akan turut dirancang dan diperincikan dalam tempoh terdekat demi mengatasi masalah tersebut terutama membabitkan penduduk di kawasan luar bandar.

Menyentuh tentang beberapa projek rumah kos rendah dan mampu milik yang gagal disiapkan oleh kerajaan Pas Kedah sebelum ini kata Mukhriz, pihaknya akan menjalankan kajian dan menyemak semula faktor kegagalan projek tersebut sebelum memperincikan sebarang keputusan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment