My Add

Friday, 17 May 2013

Kelantan sambut baik Kabinet

Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB

KOTA BHARU, KHAMIS, 16 Mei, 2013: Kerajaan Pas Kelantan menyambut baik pembentukan Kabinet baharu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, semalam.

Tanpa mengira fahaman politik, Kerajaan Pas Kelantan yang diterajui Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berharap pasukan Kabinet baharu berkenaan akan dapat 'memberi wajah' semula kerjasama di antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri.

"Saya menyambut baik pembentukan Kabinet baharu yang diumumkan oleh Perdana Menteri, bagi saya itu adalah hak beliau selaku orang nombor satu negara untuk memilih sesiapa sahaja menganggotai Kabinet beliau sesuai dengan peruntukan Perkara 43 (2) (B) Perlembagaan Persekutuan.

"Dalam masa yang sama juga saya menyambut baik kenyataan Perdana Menteri yang menyebut bahawa Kabinet baru ini sebagai Kabinet transformasi. Bagi saya transformasi yang paling penting tentunya transformasi sikap dan mentaliti, bukan hanya transformasi wajah baru menggantikan wajah lama sahaja.

"Dalam erti kata lain, saya mengharapkan agar Kabinet baharu ini dapat mewajahkan semula kerjasama di antara kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat sesuai dengan semangat federalisme yang termaktub di dalam Perlembagaan," katanya dalam laman sosial Facebook beliau hari ini.

Ahmad turut berharap Perlembagaan Persekutuan yang mengkategorikan tiga senarai iaitu senarai persekutuan, negeri dan senarai bersama terus dihormati untuk kebaikan semua pihak khususnya rakyat Kelantan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment