SPDP masih ada ruang
KUCHING, KHAMIS, 16 Mei, 2013: Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) yakin masih ada ruang bagi ahlinya untuk dilantik menjadi anggota Kabinet, kata Presidennya, Tan Sri William Mawan Ikom.
Beliau berkata, pihaknya telah melakukan yang terbaik dan akan segera berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membincangkan perkara tersebut.
Katanya, keyakinan itu semakin kuat apabila mengetahui pengumuman Kabinet baharu semalam masih belum dimuktamadkan sepenuhnya.
"Ahli dan penyokong parti janganlah berasa sedih atau bimbang kerana pucuk pimpinan Pusat akan memilih semua wakil parti menganggotai Kabinet.
"Saya yakin Perdana Menteri akan membuat keputusan yang adil berhubung perkara ini tanpa meminggirkan mana-mana parti," katanya di sini.
Tambah Mawan Ikom yang juga Ahli Parlimen Saratok, walaupun tiada ahli SPDP terpilih bagi menganggotai barisan Kabinet, namun perkhidmatan kepada rakyat harus diutamakan.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan tujuh wakil dari Sarawak dilantik sebagai menteri penuh dalam Kabinet.
Empat daripadanya merupakan Ahli Parlimen Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) iaitu Datuk Fadillah Yusof, Datuk Rohani Abdul Karim, Datuk Seri Doughlas Uggah Embas dan Nancy Shukri.
Yang lain ialah Datuk Joseph Entulu Belaun daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Richard Riot Jaem (Parti Rakyat Bersatu Sarawak - SUPP) manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Idris Jala yang merupakan ahli korporat. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment