My Add

Friday, 17 May 2013

Kenyataan Azran peribadi, tidak kena pada tempat, kata Rafidah Aziz

KUALA LUMPUR 16 Mei - Tindakan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Azran Osman-Rani mencemuh akhbar Utusan Malaysia dan mahu menarik iklan AirAsia dalam akhbar itu tidak kena pada tempatnya kerana melibatkan dasar syarikat.

Pengerusi AirAsia X, Tan Sri Rafidah Aziz berkata, dalam negara ini setiap orang mempunyai kebebasan untuk bersuara tetapi apa yang mahu dikatakan tidak sepatutnya membabitkan polisi sektor swasta atau kerajaan.

"Apa yang dibuat adalah pandangan peribadinya, namun kenyataan tersebut tidak sesuai apabila melibatkan polisi syarikat. Itu adalah pandangan peribadi dia dan tidak ada kena mengena dengan AirAsia X," katanya seperti yang dipetik daripada portal berita The Mole yang boleh dilayari di www.mole.my/content/airasia-x-wont-pull-out-ads-utusan-malaysia-rafidah-aziz hari ini.

Rafidah berkata, setakat yang diketahui, isu menarik balik iklan itu tidak pernah dibincangkan oleh pengurusan syarikat.

Baru-baru ini, Azran menerusi akaun Twitter serta Facebook miliknya menyatakan pendirian meluatnya terhadap Utusan Malaysia yang dilabel sebagai tidak mewakili Melayu Malaysia.

Ahli korporat Melayu baharu itu secara terbuka menerusi kedua-dua akaun laman sosial tersebut menyalahkan Utusan Malaysia sebagai rasis kerana menyiarkan artikel di muka hadapan bertajuk Apa lagi Cina mahu pada 7 Mei lalu.

Menerusi akaun Facebook beliau, Azran menulis: I am Malaysian. I am anti-racism. I am disgusted by Utusan?s editorial stance. (Saya rakyat Malaysia. Saya anti-perkauman. Saya meluat dengan pendirian Pengarang Utusan)."

Dalam akaun Twitter pula, Azran turut menyatakan pihaknya akan menarik balik iklan AirAsia di Utusan Malaysia.

Laporan Utusan Malaysia itu walau bagaimanapun dianggap banyak pihak tidak rasis kerana sekadar melontarkan pertanyaan, malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut mempertahankannya.

Sebaliknya beliau mengkritik pihak-pihak yang sering mencari kesalahan akhbar tersebut tetapi tidak pula mempertikaikan akhbar-akhbar berbahasa Cina yang bertindak serupa.

"Awak salahkan Utusan, bagaimana pula akhbar berbahasa Cina? Adakah anda kata sesetengah orang memperkatakan benda yang betul setiap masa?" kata Najib dalam sidang akhbar yang diikuti dengan tepukan gemuruh wartawan yang hadir setelah diasak dengan soalan oleh seorang wartawan media asing mengenai laporan Utusan Malaysia itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment