My Add

Friday, 17 May 2013

Shahrizat desak Rafidah jawab

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 16 Mei, 2013: Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menuntut penjelasan Pengerusi Lembaga Pengarah AirAsia X, Tan Sri Rafidah Aziz berhubung kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Azran Osman-Rani baru-baru ini.

Berikut kenyataan penuh beliau:

"Saya mewakili Pergerakan Wanita UMNO Malaysia hari ini ingin melontarkan pertanyaan kepada Tan Sri Rafidah Aziz selaku Pengerusi Lembaga Pengarah AirAsia X di atas kenyataan oleh Azran Osman-Rani terhadap Utusan Malaysia dan tindakan menarik balik iklan di dalam akhbar tersebut.

Saya yakin Tan Sri Rafidah Aziz yang telah menerajui kepemimpinan Wanita UMNO selama 22 tahun dan berusia 66 tahun semasa meninggalkan pucuk pimpinan Wanita UMNO Malaysia cukup matang untuk menjelaskan isu ini berdasarkan perjuangan wanita Melayu yang turut didukung oleh beliau semasa memimpin Wanita UMNO.

Malah, saya harap beliau memahami perjuangan Utusan Malaysia sebagai satu-satunya lidah rasmi orang Melayu.

Beliau seharusnya tampil ke hadapan untuk memberikan pandangan, pendirian dan pendapat beliau untuk menyelesaikan isu ini, bukan terus berdiam diri walaupun beberapa desakan telah dikemukakan oleh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan beberapa pihak lain.

Wanita UMNO amat kecewa dan meminta Tan Sri Rafidah sebagai Pengerusi yang bertanggungjawab untuk AirAsia X memberikan penjelasan secepat mungkin kerana terlalu ramai orang Melayu berasa amat tersinggung dengan pandangan yang tidak bertanggungjawab oleh Azran Osman-Rani. "- UTUSAN

No comments:

Post a Comment