KUCHING, JUMAAT, 24 Mei, 2013: Kepentingan rakyat Sarawak terus menjadi keutamaan kerajaan negeri itu dalam usaha untuk turut serta dalam pembangunan perdana untuk memastikan mereka boleh menikmati peluang yang dicipta oleh perkembangan ekonomi negara.
Menteri Kedua Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, berkata usaha kerajaan negeri memanfaatkan potensi sumber tenaga terutamanya tenaga hidro mendorong pembangunan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).
"Ini adalah komitmen kami kepada rakyat Sarawak bahawa dalam apa saja yang kami lakukan, kepentingan rakyat didahulukan seperti yang termaktub di bawah doktrin politik pembangunan dan agenda Program Transformasi Kerajaan," katanya.
Di bawah SCORE, beliau berkata, kerajaan menumpukan kepada industri ekstensif tenaga, pembangunan hub halal dan bandar raya pintar.
“Ini akhirnya akan meletakkan Sarawak di kalangan negeri berpendapatan tinggi di Malaysia menjelang 2020,” kata Awang Tengah pada majlis penutup Kongres Dunia Persatuan Tenaga Hidro 2013, di sini, hari ini.
Kongres lima hari itu menyaksikan delegasi daripada lebih 60 negara, dengan lebih 40 penceramah berkongsi pengalaman dan cabaran dalam pembangunan tenaga hidro.
Sementara itu, mengenai projek tenaga hidro di Sarawak, beliau berkata, semua projek tenaga hidro yang dibangunkan dan dirancang di negeri itu harus melalui kajian Penilaian Impak Sosial dan Alam Sekitar (SEIA).
“Kajian SEIA ini memainkan peranan penting dalam menangani isu sosial dan alam sekitar selaras dengan pembangunan fizikal,” katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment