My Add

Wednesday, 22 May 2013

Kesihatan Azizan semakin baik

ALOR SETAR, SELASA, 21 Mei, 2013: Keadaan kesihatan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak bertambah baik selepas luka pembedahan bahagian kaki sebelah kanannya semakin pulih.

Bekas Setiausaha Akhbarnya, Mohd. Helmi Khalid berkata, kaki sebelah kiri Azizan pula masih dirawat dengan pemantauan rapi pihak Hospital Pulau Pinang (HPP).

"Alhamdulillah, kesihatan Azizan semakin baik dan beliau dilihat bertambah pulih sejak dua hari lalu. Beliau juga sudah boleh bercakap, namun dalam keadaan yang lemah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mohd. Helmi, Azizan juga dilihat cuba berkomunikasi dengan ahli keluarga dan rakan yang menziarahinya namun hanya mampu bercakap dalam keadaan lemah dan tersekat-sekat.

"Azizan akan terus menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi HPP sehingga keadaannya benar-benar pulih," katanya.

Azizan, 69, yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Kedah menjalani pembedahan memotong kedua-dua belah kakinya akibat jangkitan kuman di HPP pada 9 Mei lalu.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, Azizan berjaya mempertahan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau selepas mengalahkan sepupunya, Fazillah Mohd. Ali yang mewakili Barisan Nasional (BN) dengan majoriti sebanyak 2,774 undi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment