My Add

Tuesday, 21 May 2013

KeTTHA lebih mencabar - Maximus

PUTRAJAYA, ISNIN, 20 Mei, 2013: Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili menyifatkan pertukaran portfolionya dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) ke Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) sebagai lebih mencabar.

Beliau berkata, cabaran utama yang perlu dihadapinya ialah berkaitan kemudahan utiliti yang berkait rapat dengan kepentingan awam.

"Saya sedar memasuki kementerian seperti ini yang berkaitan dengan kemudahan utiliti selalu mencabar kita tetapi semua kena akur kita tidak boleh seratus peratus sempurna.

"Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada menteri sebelum ini dan warga kementerian yang menjalankan tugas mencabar ini dengan jayanya," katanya ketika berucap pada Majlis Serah Tugas di pejabatnya di sini hari ini.

Hadir sama, bekas Menteri KeTTHA, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dan Ketua Setiausaha KeTTHA, Datuk Loo Took Gee.

Menurut Ongkili, beliau juga akan meneliti masalah air di Selangor yang mendapat campur tangan dari kerajaan negeri dan berbincang dengan bekas menteri untuk melihat keperluan itu serta mencari penyelesaian kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkannya untuk melaksanakan pembangunan kepada rakyat.

"Perkara ini memang mencabar sebab terlalu rumit dan pada masa sama ada pihak yang salahkan kita tetapi kerajaan akan tetap cari penyelesaian bagi jangka masa panjang," katanya.

Sementara itu, Fah Kui dalam ucapannya berharap Ongkili dapat meneruskan program pembangunan yang telah dilaksanakan dan menyelesaikan beberapa isu yang tertangguh.

"Selain itu, saya juga berharap beliau dapat menyelesaikan isu bekalan elektrik terputus yang kerap berlaku di Sabah berbanding di Semenanjung.

"Saya percaya beliau akan memberi komitmen untuk menyelesaikan isu ini di samping pelbagai isu lain," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment