My Add

Tuesday, 21 May 2013

Tambah baik pelaksanaan program sedia ada untuk capai KPI

PUTRAJAYA, ISNIN, 20 Mei, 2013: Beberapa perubahan akan dilaksanakan ke atas program-program sedia ada di Kementerian Kesihatan bagi memastikan indeks prestasi utama (KPI) yang ditetapkan untuk kementerian itu tercapai.

Menteri Kesihatan yang baharu, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, keberkesanan program-program yang telah dilaksanakan juga akan dinilai sebelum menambah agenda baharu dalam memastikan kesihatan rakyat negara ini sentiasa berada di tahap yang terbaik.

Beliau berkata, perkara itu penting kerana setiap program yang dilaksanakan sememangnya memberikan kesan yang besar kepada tahap kesedaran rakyat negara ini untuk menjaga kesihatan masing-masing.

"Kementerian tidak akan membuat perubahan secara drastik, namun kita akan nilai semula program-program yang telah dilaksanakan sebelum ini adakah ia mencapai tujuan awal ataupun tidak.

"Bagi memastikan rakyat mendapat perkhidmatan yang terbaik dalam hal penjagaan kesihatan, kita juga akan menambah baik program sedia ada selain mewujudkan beberapa agenda baharu sekali gus membolehkan kementerian mencapai KPI yang telah ditetapkan," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis sambutan bersama Timbalannya, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya di sini hari ini.

Menurut Subramaniam, beliau yakin gandingannya bersama Hilmi adalah keputusan yang tepat memandangkan kedua-duanya mempunyai latar belakang perubatan.

"Saya dan Hilmi akan memberi perkhidmatan yang terbaik kepada seluruh masyarakat tanpa mengira kaum di negara ini, kementerian akan cuba sedaya upaya untuk meningkatkan sistem penyampaian bagi menambah baik perkhidmatan sedia ada.

"Sebagai sebuah negara yang mempunyai mutu perkhidmatan kesihatan yang terbaik di dunia berbanding negara yang lain, kita akan memastikan setiap permasalahan rakyat dapat diatasi sebaik mungkin," katanya.

Selain itu katanya, kerjasama kakitangan dan pegawai di kementerian amat di harapkan bagi memastikan perubahan yang ingin dibawa dapat mencapai matlamat yang diinginkan.

Dalam pada itu, mengulas cabaran untuk mengatasi masalah penyakit kencing manis dalam kalangan rakyat negara ini, Subramanian berkata, kementerian akan menggalakkan masyarakat untuk mengubah cara hidup ke arah yang lebih sihat.

"Faktor pemakanan memainkan peranan yang penting, kita akan mewujudkan program-program kesedaran untuk mengatasi masalah ini, dengan mengatasi penyakit kencing manis kita dapat menghindari pesakit daripada mendapat penyakit serius yang lain," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment