My Add

Tuesday, 21 May 2013

Kontraktor kelas F kecewa

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA

KUANTAN, ISNIN, 20 Mei, 2013: Kira-kira 28,000 kontraktor Melayu kelas F di negara ini kecewa dengan pengurusan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) yang mengeluarkan kenyataan menggambarkan seolah-olah orang Melayu tidak mampu menjadi kontraktor berjaya.

Pengerusi Biro Kelas F Malaysia yang juga Timbalan Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Che Wan Mohd. Khalid Mohammad berkata, SPNB tidak seharus mengeluarkan kenyataan yang mengguris perasaan kontraktor Melayu.

"Apa yang seharusnya dilakukan adalah, SPNB duduk berbincang dengan PKMM bagi menyelesaikan apa saja masalah bukan membuat kenyataan terbuka di media.

"SPNB harus profesional dalam mengeluarkan kenyataan supaya tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sabtu lalu, Pengarah Urusan SPNB, Datuk Dr. Kamarul Rashdan Saleh mendedahkan jumlah kontraktor kelas F yang disenarai hitam agensi itu meningkat enam kali ganda atau sebanyak 640 peratus iaitu kepada 888 kontraktor tahun lalu berbanding hanya 120 pada 2011.

Semalam, Presiden PKMM, Datuk Mokhtar Samad kesal dan kecewa dengan SPNB ekoran kenyataan pihak pengurusan agensi itu.

Che Wan Mohd. Khalid yang juga Yang Dipertua PKMM Pahang berkata, SPNB seharusnya mengambil tahu tentang masalah yang dihadapi oleh kontraktor kelas F di negara ini terutama melibatkan modal.

Beliau berkata, kontraktor kelas F di negara ini sememangnya kekurangan modal, jika ada pinjaman pun hanya dari Majlis Amanah Rakyat (Mara).

"Kita hendak syorkan supaya SPNB ambil langkah proaktif dengan membuat kerjasama dengan Mara atau pihak bank bagi memudahkan kita mendapat pinjaman.

"Jika tidak masa tiga bulan yang diberikan SPNB untuk siapkan sesuatu projek perumahan tidak akan cukup kerana untuk uruskan pinjaman sahaja pun sudah mengambil masa lama," katanya.

Beliau berharap, SPNB dapat berjumpa dengan PKMM bagi berbincang mengenai masalah yang dihadapi oleh kontraktor kelas F di negara ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment