My Add

Tuesday, 21 May 2013

'Negeri ini pun bukan negeri bapa dia'

 *ZAHID menjawab soalan pemberita pada sidang media di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya semalam.
PUTRAJAYA, ISNIN, 20 Mei, 2013: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam nada sinis memulangkan paku buah keras kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika diminta mengulas kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bahawa 'negara ini bukan negara bapa' Menteri Dalam Negeri.

Beliau berkata: ''Ya, betullah, bukan negeri bapa saya, negeri ini pun bukan negeri bapa dia, sebut balik itu.

''Yang ini awak tulis, Malaysiakini. Awak selalu putar belit jadi sila tulis berdasarkan etika kewartawanan."

Mengulas desakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng supaya beliau memohon maaf atas gesaan terhadap mana-mana pihak yang tidak setuju dengan sistem pilihan raya Malaysia supaya berhijrah ke negara republik, Zahid menegaskan, beliau tidak perlu berbuat demikian sebaliknya Guan Eng yang perlu memohon maaf kepadanya kerana salah tafsir kenyataan beliau.

''Dia patut minta maaf pada saya sebab dia salah tafsirkan kenyataan saya, bukan saya yang minta maaf pada dia, awak dari mana? Malaysiakini, itulah awak selalu putar belitkan kenyataan, selalu sangat," katanya.

Ahmad Zahid memberikan reaksi demikian ketika diminta mengulas kenyataan Anwar dalam ucapannya di Seremban, Negeri Sembilan, Sabtu lepas kononnya gesaan tersebut adalah sombong dan menghina rakyat.

Sementara itu, ditanya penahanan bekas penuntut Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Adam Adli di bawah Akta Hasutan, Ahmad Zahid berkata, beliau enggan mengulas kerana tidak mahu kenyataannya dipolitikkan.

"Kalau saya jawab nanti (pembangkang) kata politik, kami profesional.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang turut hadir pada sidang akhbar itu berkata, beliau akan mengulas perkara itu kemudian.

''Malaysiakini mahu tanya apa lagi, awak jangan putar belit, saya punya (kenyataan) ini, saya pantau setiap perkataan, ayat dan perenggan berita ditulis Malaysiakini, awak jangan main api dengan saya," tegasnya.

Ditanya tindakan pembangkang mengajak orang ramai berhimpun membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), laman sosial Facebook dan Twitter beliau berkata, pihak polis adalah penguat kuasa undang-undang.

''Pemantauan terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Komunikasi dan Multimedia, penguatkuasaan oleh Cybersekuriti, pelaksanaan undang-undang pula oleh Jabatan Peguam Negara.

''Kami tidak pernah berkompromi untuk mengambil tindakan sebagaimana yang termaktub di dalam undang-undang dan akta serta enakmen sedia ada, kalau tindakan diambil jangan marah pada kami berdua atau ketua polis negara," - UTUSAN
 

No comments:

Post a Comment