Malaysia di landasan terbaik capai Wawasan 2020
KUALA LUMPUR, RABU, 22 Mei, 2013: Pertubuhan Pendidikan, Saintifik, Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yakin Malaysia kini berada dalam landasan terbaik untuk muncul sebagai negara maju pada 2020 menerusi penguasaan sains dan teknologi.
Ketua Pengarahnya, Irina Bokova berkata, Malaysia adalah negara yang paling banyak melabur dalam bidang sains dan teknologi di rantau ini dan daya saing negara juga diiktiraf di peringkat antarabangsa.
"Pembangunan pusat penyelidikan dan universiti-universiti di Malaysia bukan hanya sekadar nasib tetapi usaha keras semua pihak di Malaysia.
"Memang akan sentiasa ada ruang untuk penambahbaikan tetapi Malaysia membangun dengan begitu pesat dan Wawasan 2020 adalah cukup jelas," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Pusat Sains, Teknologi dan Inovasi Antarabangsa bagi Kerjasama Selatan-Selatan (ISTIC) Ke-5, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah; Pengerusi Lembaga Pengarah ISTIC, Datuk Dr. Lee Yee Cheong dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Rosli Mohamed.
Menurut Irina, dalam landskap global yang telah banyak berubah, banyak negara memberi tumpuan dan pelaburan kepada bidang sains dan teknologi untuk menjamin keamanan dan keselamatan.
"Banyak perdebatan telah timbul untuk agenda selepas 2015 kerana sains dan teknologi berperanan besar bagi menyelesaikan masalah kemiskinan, krisis tenaga, perubahan cuaca dan pemulihan pasca konflik," katanya.
Menurut Irina, beliau memuji peranan ISTIC dan kerajaan Malaysia bagi menganjurkan persidangan antarabangsa yang menghimpunkan 200 peserta dari 40 negara Kerjasama Selatan-Selatan.
Katanya, persidangan yang bertemakan ISTIC: model contoh untuk Kerjasama Selatan-Selatan menerusi sains, teknologi dan inovasi itu mempunyai peranan besar meningkatkan jaringan antarabangsa dan memperluaskan standard kecekapan.
Persidangan selama tiga hari itu bertujuan memperkukuhkan agenda polisi sains dan teknologi dalam kalangan negara terlibat, memantapkan lagi program pembangunan teknokrat serta merangka pelan lima tahun ISTIC dan mekanisme peruntukan. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment