My Add

Wednesday, 22 May 2013

Malaysia lobi kerusi Majlis Keselamatan

 Anifah Aman
PUTRAJAYA, SELASA, 21 Mei, 2013: Malaysia akan bekerja keras untuk melobi sokongan negara Asia Tenggara, Afrika, Asia Barat dan negara lain untuk dilantik sebagai ahli tidak tetap dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi tempoh 2015/2016.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, Kuala Lumpur yakin akan mendapat sokongan negara anggota ASEAN bagaimanapun akan terus berusaha untuk mengukuhkan sokongan dari negara lain di dunia.

Katanya, keanggotaan dalam Majlis Keselamatan PBB adalah penting bagi memastikan Kuala Lumpur terlibat secara langsung dalam proses membuat keputusan mengenai isu-isu keselamatan antarabangsa.

"Mesej utama yang akan disampaikan Malaysia selepas menganggotai majlis ini adalah mengenai kepentingan keamanan dunia," katanya dalam sidang akhbar bersama timbalannya, Datuk Hamzah Zainuddin di sini hari ini.

Barisan Nasional (BN) dalam manifestonya menyatakan Malaysia mahu dilantik sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB bagi memastikan negara dapat memainkan peranan dalam keselamatan antarabangsa melalui konsep kesederhanaan.

Keanggotaan dalam Majlis Keselamatan PBB menjadi salah satu keutamaan Wisma Putra selain usaha memperkukuhkan Gerakan Kesederhanaan Global dan memastikan kesediaan Malaysia menerima jawatan Pengerusi ASEAN pada 2015 selepas Brunei (2013) dan Myanmar (2014).

Sementara itu, Anifah mengesahkan bahawa Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama berhasrat mengadakan kunjungan hormat ke Malaysia, Oktober ini.

"Kami dimaklumkan tentang perkara ini, tetapi ia perlu disahkan semula kerana jadual pemimpin atau ketua negara tertentu mungkin berubah," katanya.

Dalam isu berlainan, Anifah berkata, Malaysia mengekalkan hubungan baik dengan ketiga-tiga jiran Asia Tenggara iaitu Thailand, Singapura dan Filipina di mana perhubungan secara berterusan dijalankan bagi menyelesaikan pelbagai masalah yang berlaku.

"Sebagai jiran kita tidak berpura-pura seolah-olah kita tidak bermasalah. Keadaannya adalah berlainan dengan negara seperti Venezuela yang berjauhan dengan kita dan tidak banyak masalah yang timbul," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment