My Add

Wednesday, 22 May 2013

SPR tubuh pasukan khas semak guna dakwat kekal

KUALA LUMPUR, SELASA, 21 Mei, 2013: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menubuhkan satu pasukan khas bagi menyemak dan meneliti masalah-masalah berkaitan penggunaan dakwat kekal dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), 5 Mei lalu.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, masalah itu merangkumi aspek ramuan, syarat-syarat yang ditetapkan Kementerian Kesihatan, cara penggunaan dan kaedah mencalit dakwat kekal di jari.

Menurut beliau, perkara lain termasuk hasil ujian-ujian yang telah dibuat sebelum dakwat itu dihantar dan selepas sampai ke negara ini.

"Berdasarkan pengalaman pertama (penggunaan dakwat kekal), SPR yang mengadakan mesyuarat hari ini memutuskan untuk menubuhkan pasukan khas tersebut dan berharap dapat membantu suruhanjaya mengenal pasti perkara-perkara yang menyebabkan dakwat itu tidak kekal lama di jari setelah dicalit.

"Tempoh pasukan khas itu menyiapkan penyiasatannya adalah sebulan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Penggunaan dakwat kekal dalam proses pengundian PRU-13 lalu dilaksanakan SPR sebagai maklumat tambahan untuk mengelakkan percubaan mengundi lebih daripada sekali oleh pengundi.

Walau bagaimanapun, pengunaannya menimbulkan pelbagai reaksi daripada parti politik, calon dan pengundi bahawa dakwat kekal itu tidak kekal lama melekat di jari.

Jelas beliau, SPR juga memandang serius perbuatan pihak-pihak tertentu yang menyebarkan rakaman video, tulisan dan gambar melalui laman sosial, media cetak dan portal berita berhubung dengan tuduhan dan dakwaan yang tidak berasas tentang agensi terbabit.

Ujarnya, antara tuduhan dan dakwaan itu ialah:

* Warganegara asing mengundi dalam pilihan raya umum lalu;

* Kejadian lampu padam semasa pengiraan undi;

* Berlaku tiga tong undi hilang di pusat penjumlahan rasmi undi di Putrajaya;

* Peti undi diturunkan dari helikopter dengan tujuan memenangkan pihak tertentu;

* Kenderaan SPR membawa peti undi ke pusat penjumlahan rasmi undi dengan tujuan untuk memanipulasi keputusan pengundian;

* Petugas SPR meminta ejen calon menandatangani Borang 14 sebelum tamat proses pengiraan undi;

* Terdapat pengundi hantu yang mengundi pada pilihan raya umum lalu;

* Pengundi dari Sabah dan Sarawak diangkut dan dihantar untuk mengundi di beberapa negeri. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment