MIC selar pemimpin India DAP
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 16 Mei, 2013: Pemimpin India DAP diingatkan supaya tidak sesekali menuding jari kepada MIC yang telah banyak berjasa kepada masyarakat India selama ini berbanding parti pembangkang itu yang lebih banyak 'buat bising' daripada bekerja.
Naib Pengerusi Strategik MIC, Datuk R. Ramanan berkata, walaupun DAP mempunyai beberapa 'kerat' pemimpin India berjawatan tinggi namun mereka hanya sekadar boneka untuk ditayangkan kepada umum.
Malah, lebih teruk lagi kata beliau, hampir semua pemimpin India DAP itu tidak pernah berbuat apa-apa untuk membela kaum India di negara ini.
"Sikap Naib Pengerusi DAP, M.Kulasegaran yang meminta MIC supaya tidak campur tangan dalam isu manipulasi pemilihan Jawatankuasa Pusat (CEC) Disember lepas, seterusnya mahu MIC memberi perhatian dalam isu membela masyarakat India amat tidak bertanggungjawab dan mengecewakan.
"Siapa dia nak bercakap tentang MIC? Adakah 'seseorang' telah menyuruhnya bercakap? Apa jasa beliau kepada komuniti India di negara ini terutamanya pengundi di Ipoh Barat yang telah mengundinya? Nasib mereka sudah terbelakah atau DAP masih memerlukan MIC untuk membantu?
"Ketika DAP Perak memegang tampuk pemerintahan selama 11 bulan pada tahun 2008, mengapa 2,500 ekar tanah diperuntukkan untuk sekolah Cina swasta, apa sudah jadi dengan sekolah Tamil? Mengapa jawatan Exco kerajaan negeri pula hanya diberikan kepada seorang India sahaja walaupun empat orang menang? Kulasegaran 'tidurkah' ketika itu, mengapa tidak bela nasib pemimpin India lain di Perak," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan biadab Kulasegaran yang menuduh MIC tidak lagi relevan serta bakal ditelan zaman pada pilihan raya umum sebaliknya menganggap DAP pula lebih banyak berjasa kepada komuniti tersebut.
Jelas Ramanan, kenyataan membuta tuli Kulasegaran itu menunjukkan beliau sebenarnya jahil dengan apa yang berlaku di sekeliling khususnya pengorbanan yang telah dilakukan MIC selama hampir 56 tahun berbanding DAP yang lebih banyak 'berbunyi seperti tin kosong'. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment