Muka baharu ikrar tunai tanggungjawab
PEKAN, KHAMIS, 16 Mei, 2013: Lima muka baharu termasuk seorang wakil wanita yang dibariskan dalam senarai Exco Pahang berikrar sedaya upaya memikul tanggungjawab yang diamanahkan itu dengan baik bagi memastikan nasib rakyat terbela.
Bagi wakil tunggal wanita, Datuk Shahaniza Shamsuddin yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, beliau terharu dengan pelantikan tersebut yang dianggap meletakkan kedudukan wanita pada tahap yang diinginkan golongan itu sebelum ini.
"Saya yakin pelantikan ini adalah berdasarkan pengalaman saya yang telah menjadi ADUN selama dua penggal," katanya.
Katanya, beliau akan melaksana pelbagai inisatif untuk membangunkan golongan kurang bernasib baik terutama yang tinggal di pedalaman.
ADUN Kerdau, Syed Ibrahim Syed Ahmad pula berkata, pemilihannya sebagai Exco adalah tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan penuh dedikasi bagi menjaga kepentingan rakyat.
"Saya akan menggalas tanggungjawab dengan penuh jujur, amanah dan ikhlas supaya rakyat di negeri ini terus menerima limpahan kemajuan dan pembangunan daripada kerajaan," katanya.
Bagi ADUN Chini, Datuk Abu Bakar Harun, beliau terkejut apabila namanya turut diumumkan sebagai Exco.
"Amanah ini akan saya laksanakan dengan baik. Apa yang penting nanti adalah kerjasama semua pihak yang bekerja dalam portfolio yang akan saya pegang nanti demi kepentingan rakyat," katanya.
ADUN Guai, Norol Azali Sulaiman pula berikrar akan melaksanakan amanah tersebut dengan sebaik mungkin dan bersyukur atas kepercayaan yang diberikan.
"Sebagai langkah pertama, saya akan menjalinkan hubungan baik dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan belia di seluruh negeri bagi memudahkan saya merencanakan program untuk mereka," kata beliau.
Dalam pada itu, ADUN Tioman, Datuk Kapten (B) Mohd. Johari Hussain yang terkejut dan gembira dengan pelantikan itu menerima tanggungjawab ini dengan hati terbuka walau pun peranan kali ini lebih besar berbanding sebelum ini. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment