Muzium Terengganu pulihara dua rumah tradisional Melayu
KUALA TERENGGANU, AHAD, 19 Mei, 2013: Lembaga Muzium Negeri Terengganu akan memulihara dua rumah tradisional orang Melayu yang dibeli pada harga RM3 juta dua tahun lepas, bagi mempamerkan kehandalan tukang rumah zaman dahulu.
Pengarahnya, Mohd. Yusof Abdullah berkata, pihaknya sedang mencari pakar untuk membaik pulih struktur yang rosak, bagi memastikan keaslian dua rumah yang terletak di Kampung Losong Haji Su itu tidak terjejas sebelum dibuka kepada orang ramai seawal-awalnya pada 2015.
"Kita akan lantik kontraktor atau orang-orang perseorangan yang betul-betul mahir dan pakar dalam membaik pulih rumah tradisional Melayu Terengganu itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya, dua rumah berkenaan dibina pada 1805 oleh seorang bangsawan bernama Haji Mat Kaya yang kemudian diwarisi anaknya Haji Su.
Rumah terbabit dibina dengan kepakaran tukang kayu zaman dahulu dan langsung tidak menggunakan paku, katanya.
Beliau juga yakin dua rumah terbabit akan menjadi daya tarikan pelancong kerana kedudukannya yang strategik.
"Dari bandar Kuala Terengganu, sebaik sahaja masuk ke kawasan Kampung Losong, kita akan jumpa pusat pengeluaran keropok dan makanan tradisonal di kiri kanan jalan berkenaan.
"Kemudian di pinggir sungainya terdapat pusat pengeluaran Keropok T'Lekor selain perusahaan membina bot dan juga pokok-pokok nipah dan sebagainya,” katanya.
Beliau sebelum itu merasmikan pameran Inovasi, Kreativiti dan Tradisional di Muzium Negeri Bukit Losong. Pameran berlangsung selama dua bulan bermula hari ini dan masuk adalah percuma. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment