Program 'Jom Kita Ke Sawah' suntik semangat belia tanam padi di Sabah
PAPAR, AHAD, 19 Mei, 2013: Pendedahan yang baik berkaitan cara penanaman padi kepada golongan belia mampu menyuntik semangat untuk memajukan aktiviti itu di Sabah, sekali gus menghasilkan pendapatan lumayan, kata Anggota Parlimen Papar, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
Sehubungan itu, beliau menyambut baik penganjuran program merakyatkan seni budaya 'Jom Kita Ke Sawah' yang mampu memberi pendedahan dan pengetahuan, khususnya kepada golongan belia.
"Ramai dalam kalangan belia, terutama di kawasan bandar, berpendapat aktiviti penanaman padi hanya untuk warga tua sahaja, tetapi sebenarnya banyak faedah dan manfaat aktiviti ini dapat dipromosi di kalangan golongan muda,” katanya.
Rosnah, yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya, berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian program itu di kampung Rampazan dekat sini hari ini.
Terdahulu, dalam ucapannya, beliau berkata program anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Sabah dengan kerjasama Pejabat Daerah Papar itu bertujuan memupuk semangat kerjasama serta mempertingkat toleransi, keharmonian dan perpaduan selaras dengan pengukuhan jati diri bangsa Malaysia.
"Program ini menjadi teras kepada penggiat seni dan budaya di setiap negeri, daerah, komuniti dan luar bandar agar kita dapat mengenal warisan seni budaya kita sendiri dengan mengamalkan nilai-nilai murni,” katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment