Nash bersyukur tertuduh disabitkan bersalah, dijatuhi hukuman
KUALA LUMPUR, KHAMIS,23 Mei, 2013: Penyanyi popular, Nash atau nama sebenarnya Jamaludin Elias melahirkan rasa syukur apabila tertuduh dalam kes pembunuhan bekas isterinya yang juga seorang jutawan kosmetik iaitu Datuk Sosilawati Lawiya, didapati bersalah dan dihukum gantung sampai mati.
Jelasnya, seperti masyarakat Malaysia lain, dia sentiasa mengikuti perkembangan demi perkembangan kes pembunuhan tersebut, apatah lagi melibatkan individu penting dalam hidupnya.
"Setelah mendapat tahu berhubung kejadian tersebut, saya bersyukur dan berpuas hati dengan keputusan mahkamah tinggi yang menjatuhkan hukuman setimpal kepada pihak yang bertanggungjawab melakukan jenayah kejam tersebut.
"Ini merupakan satu pengakhiran yang adil buat semua pihak terlibat dan saya berharap keputusan tersebut juga bakal menjadi pengajaran kepada masyarakat di luar agar tidak melibatkan diri mereka dengan jenayah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Nash sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Sosilawati pada 16 November 2006 tetapi rumah tangga yang dibina tidak kekal lama dan mereka mengambil keputusan untuk berpisah setelah bersama kira-kira 10 bulan.
Tiga individu lain yang turut menjadi mangsa pembunuhan kejam di ladang tersebut ialah pemandu, Kamaruddin Shamsuddin, pegawai bank, Noorhisham Mohamad dan seorang peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment