My Add

Thursday, 23 May 2013

Pas diminta keluar kenyataan rasmi tolak politik ganas

KUALA LUMPUR, RABU, 22 Mei, 2013: Pas diminta mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung pendirian parti itu dalam memilih prinsip demokrasi dan menolak tindakan menggulingkan kerajaan menerusi kaedah spring atau ledakan di jalan raya.

Aktivis Pas, Mohd. Riza Kamaruddin berkata, kenyataan itu perlu dikeluarkan sendiri oleh Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan disokong oleh Majlis Syura Pas.

Menurut beliau, kenyataan rasmi itu perlu bagi memperkukuhkan lagi pendirian-pendirian yang telah dikeluarkan oleh Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib, Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hasan serta timbalannya, Nik Mohd. Abduh Nik Abdul Aziz mengenai perkara tersebut.

"Bagi memperlihatkan lagi keikhlasan Pas berhubung penolakan politik ganas atau spring, mereka juga perlu mengeluarkan kenyataan melarang ahli-ahli mereka dari peringkat akar umbi sehingga ke pucuk pimpinan untuk menghadiri sebarang perhimpunan jalanan yang dianjurkan oleh Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi DAP, Lim Kit Siang.

"Di samping itu, saya juga berharap Pas dapat menasihati sekutu-sekutu mereka supaya memberhentikan segala perbuatan yang melampau ini dan menggunakan saluran yang betul jika ingin mempertikaikan keputusan pilihan raya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Harun, Nasrudin dan Nik Mohd. Abduh baru-baru ini yang senada menolak sebarang politik ganas bagi tujuan menggulingkan kerajaan dan menegaskan pemilihan Pas terhadap prinsip demokrasi.

Menurut Mohd. Riza, bagi membuktikan pembangkang mengamalkan prinsip demokrasi seperti yang dilaung-laungkan, mereka seharusnya memilih jalan perundangan dan bukannya mengheret rakyat ke jalanan.

Katanya, sejarah telah membuktikan bahawa mahkamah mempunyai ketelusan dan berwibawa mengadili perkara berkaitan pilihan raya.

"Pada 2008, mahkamah telah mengisytiharkan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang dimenangi Pesuruhjaya Pas Perlis, Hashim Jasin walaupun pada mulanya kerusi itu diumumkan dimenangi oleh calon Barisan Nasional (BN) Abdullah Hassan.

"Jadi gunalah jalan ini (perundangan). Kenapa perlu mengheret rakyat ke jalanan? Kenapa perlu menyusahkan rakyat lain yang tinggal di sekitar tempat perhimpunan,'' ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memuji tindakan ketiga-ketiga pemimpin tertinggi Pas tersebut yang menghargai keamanan dan keselamatan negara.

"Kenyataan-kenyataan mereka itu menunjukkan Pas lebih matang daripada sekutu-sekutunya dan parti berkenaan lebih bersifat terbuka dalam menerima keputusan pilihan raya umum lalu.

"Saya berharap mereka terus konsisten dengan kenyataan tersebut,'' katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment