My Add

Thursday, 23 May 2013

Perhimpunan jalanan Sabtu ini memalukan

 Tan Tuan Tat
KUALA LUMPUR, RABU, 22 Mei, 2013: Bekas Pengerusi DAP Cawangan Sungai Pelek, Tan Tuan Tat menyifatkan tindakan pembangkang yang cuba mencetuskan huru-hara bagi menggulingkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dipilih secara sah oleh rakyat melalui demonstrasi jalanan Sabtu ini sebagai memalukan.

Katanya, tindakan itu tidak wajar dilakukan kerana boleh mencalar imej dan nama baik negara yang masyarakatnya terkenal dengan kekayaan budi bahasa dan bersopan-santun.

"Ini budaya tidak elok yang dibawa pembangkang dan dilakukan kerana kecewa tidak mendapat apa yang dihajati, sebaliknya mereka sanggup menggunakan kekerasan sebagai jalan untuk mencapai matlamat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan pembangkang mengadakan demonstrasi jalanan Sabtu ini sebagai usaha menggulingkan kerajaan BN yang sah yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 5 Mei lalu.

Dalam pada itu, Tuan Tat memuji pendirian pemimpin Pas yang secara jelas menolak demonstrasi jalanan bagi mendapatkan kuasa sebaliknya menghormati sistem demokrasi berdasarkan suara majoriti rakyat.

"Kenyataan pemimpin Pas menolak demonstrasi jalanan adalah betul, kita kena hormat keputusan rakyat yang memilih BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

"Pembangkang sepatutnya terima dan boleh bergelak ketawa kerana telah menang banyak kerusi, namun ini semua tidak berlaku," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment