My Add

Thursday, 23 May 2013

PDRM, SPRM jalin kerjasama tingkat integriti anggota, pegawai

KUALA LUMPUR, RABU, 22 Mei, 2013: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberitahu, pihaknya akan bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk meningkatkan integriti pegawai dan anggota dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, integriti anggota merupakan satu daripada tiga perkara yang diberi perhatian semasa kepimpinan beliau dalam PDRM, selain mencegah jenayah dan mengurangkan ketakutan orang ramai terhadap jenayah.

“Bagi memastikan kita mempunyai pegawai dan anggota yang berintegriti, maka kita akan lihat kembali peranan dan fungsi Bahagian Tatatertib dalam PDRM yang mungkin perlu kita perkemas dan besarkan lagi.

“Kita juga akan bekerjasama rapat dengan pihak SPRM, Suruhanjaya Integriti Penguatkuasaan Malaysia dan agensi kerajaan iaitu Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) untuk mencari kaedah terbaik bagi meningkatkan integriti anggota," katanya dalam wawancara bersama media sempena pelantikan sebagai Ketua Polis Negara di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Beliau berkata, semua pegawai kanan PDRM akan dipertanggungjawabkan untuk memastikan disiplin dan integriti setiap pegawai dan anggotanya diperiksa sepanjang masa.

Khalid berkata, langkah meningkatkan integriti warga PDRM perlu bagi memenuhi azam beliau dan timbalannya, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin yang beriltizam mahu menjadikan PDRM sebagai institusi yang berwibawa, disegani dan dihormati oleh setiap lapisan masyarakat.

“Sebab itu integriti jadi fokus. Kita cari jalan bagaimana nak mengemaskan lagi tahap warga PDRM.

“Namun bukan bermakna kita menghadapi masalah integriti anggota yang tidak terkawal, jangan salah anggap kerana kita cuma mahu pastikan sistem penyampaian berjalan lancar dan integriti kita juga perlu dikemaskinikan," ujarnya.

Ditanya mengenai kritikan pihak tertentu yang menuduh PDRM mengabaikan tanggungjawab mencegah jenayah kerana terlalu memberi fokus kepada perhimpunan diadakan pembangkang, Khalid menegaskan, dakwaan tersebut tidak benar. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment