Pekerja Bangladesh cedera ditetak pekerja Vietnam
Oleh ZULHISHAM ISAHAK
MUAR, AHAD, 19 Mei, 2013: Seorang pekerja kilang warga Bangladesh cedera di muka selepas ditetak rakan sekerja dari Vietnam kerana menyangka mangsa menjual samsu, baru-baru ini.
Kejadian berlaku di sebuah kilang di Sungai Abong di sini kira-kira pukul 7 malam 12 Mei lalu. Tindakan ganas pekerja Vietnam itu turut disertai beberapa rakannya sehingga berlaku pergaduhan.
Mangsa yang berusia lingkungan 20-an menerima 19 jahitan di mukanya. Keadaannya kini stabil walaupun masih dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini.
Pemangku Ketua Polis daerah, Supritendan Sahadan Jaafar berkata, polis sedang memburu suspek utama dikenali sebagai Couqiet Thang berusia 31 tahun.
"Semua suspek yang terlibat melarikan diri sejurus selepas kejadian namun polis berjaya memberkas seorang daripada rakan suspek pada pukul 1.40 pagi di asrama kilang itu Jumaat lalu.
"Polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat dan mengetahui di mana suspek berada supaya menghubungi balai polis berhampiran," katanya ketika ditemui hari ini. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment