My Add

Saturday, 18 May 2013

Percaya Najib mampu bawa transformasi

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 17 Mei, 2013: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low Seng Kuan percaya kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mampu membawa transformasi dalam menuju negara maju menjelang 2020.

Beliau yang pernah memegang jawatan Presiden Transparency International Malaysia (TI) berkata, pelantikannya sebagai menteri itu adalah disebabkan pengalaman dan kepakaran beliau dalam membantu Najib memantapkan integriti serta mengurangkan gejala rasuah.

Menurutnya, beliau akan memberi tumpuan pada transformasi penambahbaikan tadbir urus, integriti serta membanteras rasuah.

"Saya akan guna kepakaran dan pengalaman saya untuk membantu Perdana Menteri dalam menambah baik tadbir urus, integriti dan membanteras rasuah serta membolehkan Malaysia mencapai negara maju menjelang 2020," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Rabu lalu, Najib menyenaraikan senarai anggota kabinet baharu termasuk Paul Low yang diletakkan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Ekoran keputusan MCA dan Gerakan tidak sedia menerima sebarang jawatan dalam kerajaan, Paul dan Ahli Parlimen Tawau, Mary Yap Kain Ching merupakan wakil masyarakat Cina dalam Kabinet baharu Najib.

Paul Low, 67, adalah seorang tokoh korporat terkemuka, yang memegang pelbagai jawatan berprofil tinggi, termasuk sebagai Pengarah Urusan Kumpulan Malaysian Sheet Glass Sdn. Bhd., dan Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai anggota Majlis Ekonomi Kebangsaan (MTEN), Majlis Tindakan Ekonomi Kebangsaan (NEAC), Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) dan anggota Jawatankuasa mengenai Etika dan Integriti.

Paul Low menjelaskan, beliau akan mengadakan pertemuan dengan pasukannya dan pihak berkaitan bagi membincangkan perancangan yang akan dilakukan mereka.

"Terdapat beberapa perkara yang bermain di dalam fikiran saya tetapi masih belum memutuskan apa yang akan dilaksanakan.

"Saya perlu berbincang dan merujuk kepada pasukan dan pihak terlibat. Satu sidang akhbar mengenai jawatan ini (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) dan hala tuju akan dibuat dalam waktu terdekat," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment