My Add

Saturday, 18 May 2013

Tingkatkan peranan belia - Shafie Apdal

Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH

 *SHAFIE Apdal berdoa bersama para pegawai kanan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah termasuk Ibrahim Muhamad (dua dari kiri), Datuk Yussoff Dohab (lima dari kiri), Wan Mohamad Zuki Mohamad (kanan) dan Ibrahim Ahmad (dua dari kanan) ketika tiba di kementerian itu di Putrajaya semalam. Hadir sama timbalan beliau, Alexandar Nanta Linggi (kiri).
PUTRAJAYA, JUMAAT, 17 Mei, 2013: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan bekerjasama dengan beberapa kementerian lain khusus bagi meningkatkan peranan belia serta menyemarakkan penglibatan golongan itu di kawasan luar bandar.

Menterinya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, kerjasama itu penting bagi mengurangkan jumlah belia dari luar bandar berhijrah ke kawasan bandar dengan mewujudkan persekitaran yang bersesuaian dengan keperluan mereka.

Katanya, usaha itu akan dilaksanakan menerusi pembangunan sosio ekonomi yang berkesan supaya peluang pekerjaan bersesuaian dengan setiap kawasan dapat diwujudkan.

"Kali ini tumpuan lebih diberikan kepada tenaga muda jika perlu kementerian ini akan bergabung dengan Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani supaya wujud koordinasi dan bergerak secara berpasukan.

"Kita juga akan turun ke 25,000 kampung untuk melihat keperluan dan cita rasa mereka kerana sesetengah tempat mempunyai keperluan berbeza untuk dipenuhi seperti bidang peruncitan dan pertanian," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Shafie yang dilantik semula ke jawatan tersebut dan timbalannya Datuk Alexander Nanga Linggi memulakan hari pertama di kementerian tersebut selepas masing-masing mengangkat sumpah jawatan dan kerahsiaan di Istana Negara semalam. Ketibaan mereka disambut oleh para pegawai kanan kementerian termasuk Ketua Setiausaha, Datuk Ibrahim Muhamad dan Timbalannya, Datuk Yussoff Dohab, Ketua Pengarah RISDA, Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad dan Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad.

Menurut Mohd. Shafie, pihaknya juga bercadang untuk menyelaraskan semua projek pembangunan di setiap kawasan Parlimen dan dewan undangan negeri (DUN) di kawasan luar bandar.

Katanya, penyelarasan itu penting supaya setiap projek yang dilaksanakan akan memberi manfaat kepada penduduk terlibat.

Pada masa yang sama, katanya, kerjasama erat dengan pemimpin masyarakat di kawasan luar bandar juga akan diperluaskan supaya peranan mereka dapat dimartabatkan.

"Berdasarkan pengalaman terdahulu ada sesetengah Parlimen mendapat peruntukan sehingga RM300 juta kalau perlu kita selaraskan dan bincang sebelum dilaksanakan program-program ini.

'Ini supaya manfaatnya bukan sahaja kepada masyarakat tetapi dapat memperkasakan kepimpinan yang ada termasuk ahli Parlimen, ahli dewan undangan negeri, jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) dan ketua kampung supaya mereka boleh terlibat secara langsung dalam pembangunan itu nanti," katanya.

Sementara itu, katanya, tumpuan yang lebih juga akan diberikan kepada kawasan kampung dan luar bandar yang memberi sokongan padu kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lalu.

Katanya, tumpuan tersebut adalah merupakan penghargaan tidak terhingga kerajaan terhadap masyarakat luar bandar yang sentiasa menyokong BN. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment