My Add

Wednesday, 1 May 2013

Rakyat terkejut Nik Aziz miliki tanah lebih RM10j
 *Keratan Utusan Malaysia semalam.

KOTA BHARU, SELASA, 30 April, 2013: Rakyat Kelantan terkejut dengan pendedahan bahawa Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan isteri beliau, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak mempunyai tanah dianggarkan bernilai lebih RM10 juta di lokasi bernilai tinggi di daerah ini.

Sehubungan itu, mereka meminta Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas, memberikan penjelasan sebenar mengenai pemilikan tanah tersebut yang mereka sifatkan tidak wajar.

Seorang guru, Mat Harun Abdul Rahman, 56, menyatakan rasa terkejut apabila mendapat tahu Nik Abdul Aziz memiliki 14 lot tanah dianggar bernilai kira-kira RM4 juta di Bandar Baru Tunjong dan nilai itu boleh mencecah lebih RM10 juta sekiranya status tanah ditukar kepada komersial.

"Pada pandangan saya ia tidak sewajarnya dilakukan bagi seorang yang bergelar ulama kerana sebagai Menteri Besar, beliau harus lebih mementingkan kebajikan rakyatnya.

"Tanah tersebut sepatutnya digunakan untuk dibangunkan bagi kemudahan dan dimanfaatkan oleh rakyat bukan untuk kepentingan diri sendiri," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Seorang lagi pendidik, Mohd. Azawi Abdullah, 54, pula berpendapat, perkara ini sangat tidak wajar dilakukan oleh seorang pemimpin yang dilihat seolah-olah mengambil kesempatan.

"Saya tergaman apabila mendapat tahu mengenai pemilikan tanah oleh Menteri Besar dalam jumlah yang amat besar di kawasan yang akan dibangunkan untuk keselesaan rakyat," ujarnya.

Mohd. Azawi pada masa sama hairan dengan sikap segelintir rakyat Kelantan yang masih lagi melindungi dan bersekongkol dengan pemimpin yang cuba menyembunyikan aktivitinya.

"Beliau yang selama ini kononnya memperjuangkan Islam, namun apabila perkara ini didedahkan rakyat seharusnya sedar," katanya.

Bagi pengasas Pondok Tahfiz Haji Nordin, Tuan Nordin Tuan Awang Mat, 62, pendedahan mengenai pemilikan tanah oleh Nik Abdul Aziz dan isterinya merupakan satu perkara yang mengejutkan serta tidak sewajarnya dilakukan oleh seorang pemimpin bergelar ulama.

"Sekiranya perkara ini benar, beliau seharusnya muhasabah diri dan jangan hanya pandai menuding jari pada pihak lain.

"Rakyat seolah-olah tertipu di sebalik imej kesederhanaan yang ditampikan beliau selama ini dan saya berharap beliau sentiasa ingat dan takut kepada Allah," ujar Tuan Nordin.

Seorang usahawan, Ahmad Fikri Ali, 47, juga seperti kebanyakan rakyat Kelantan yang lain tergamam dengan pendedahan mengenai pemilikan tanah yang dianggarkan boleh mencecah lebih RM10 juta itu.

"Perkara ini tidak sewajarnya dilakukan oleh seorang pemimpin yang bersifat sederhana kerana ia dilihat seolah-olah menggunakan kuasa yang ada untuk kepentingan diri sendiri.

'Tanah tersebut sepatutnya digunakan untuk projek yang melibatkan rakyat bagi memberi manfaat kepada penduduk negeri ini bukannya untuk hak individu," katanya.

Seorang kakitangan awam, Sofe Ahmad, 50, berkata, Menteri Besar tidak sepatutnya bertindak sedemikian sekiranya benar seperti yang didedahkan.

"Beliau sebagai pemimpin seharusnya memikirkan ke arah kebajikan rakyat. Jadi beliau tidak sewajarnya memiliki tanah yang sepatutnya menjadi kawasan pembangunan untuk keselesaan anak- anak di negeri ini," katanya.

Pendedahan pemilikan tanah oleh Nik Abdul Aziz dan isterinya, Tuan Sabariah dibuat oleh calon Bebas Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali yang mempersoalkan kewajaran tindakan Menteri Besar Kelantan itu.

Nik Abdul Aziz dalam reaksinya bagaimanapun menjelaskan, beliau hanya pemegang amanah ke atas tanah Rizab Melayu tersebut yang sebenarnya dimiliki oleh Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang gagal mendapatkan pindah milik tanah tersebut kerana tidak ditafsirkan sebagai 'Melayu' dan bukan 'Anak Kelantan' menurut Enakmen Tanah Kelantan 1938. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment