My Add

Wednesday, 1 May 2013

Tanah: Jawapan cetus tanda tanya

Oleh AZRAN FITRI RAHIM
 
 *IBRAHIM Ali menunjukkan laporan polis berhubung 14 lot tanah di Bandar Baru Tunjong yang didakwa dimiliki oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat di Balai Polis Kota Bharu, semalam.
KOTA BHARU, SELASA, 30 April, 2013: Jawapan Kerajaan Pas Kelantan bahawa Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hanya bertindak sebagai pemegang amanah kepada 14 lot tanah di Bandar Baru Tunjong bagi pihak Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) menimbulkan tanda-tanya.

Calon Bebas Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata, ini kerana tanah tersebut menjadi milik Nik Abdul Aziz lebih awal daripada perancangan untuk membangunkan Bandar Baru Tunjong iaitu sebelum tahun 2006 manakala surat ikatan amanah antara agensi tersebut dengan Mursyidul Am Pas itu dibuat pada 2007.

Pada masa sama, beliau mempersoalkan mengapa tidak dicatatkan Nik Abdul Aziz hanya pemegang amanah atas nama Pengerusi PMBK atau Menteri Besar dalam geran tanah tersebut.

“Mengikut Seksyen 89 Kanun Tanah Negara, sebarang perjanjian untuk tanah harus dicatatkan dalam geran dan hasil carian rasmi serta cabutan yang dibuat mendapati perkara tersebut tidak ada kecuali nama Nik Abdul Aziz sahaja.

“Itu peruntukan undang-undang yang wajib. Dalam tafsiran undang-undang, ia milik Nik Abdul Aziz secara peribadi dan sekiranya beliau berhenti walaupun ada perjanjian, tanah tersebut adalah miliknya,’’ katanya di sini hari ini.

Menurut Ibrahim, alasan bahawa nama Nik Abdul Aziz digunakan bagi mempercepatkan proses pindah milik juga agak pelik kerana sehingga kini, kawasan tersebut tidak dibangunkan.

Katanya, adalah lebih baik jika pemaju membeli tanah tersebut terus daripada pemilik asal kerana harganya lebih tinggi mengikut kadar semasa.

“Apakah PMBK mahu mendapat untung dengan cara ini," katanya.

Nik Abdul Aziz dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan dalam jawapannya menjelaskan bahawa kesemua 14 lot tanah tersebut adalah milik PMBK.

Menteri Besar Kelantan itu hanya bertindak sebagai pemegang amanah kerana PMBK tidak boleh memiliki tanah tersebut disebabkan statusnya sebagai rizab Melayu selain langkah itu juga diambil bagi mempercepatkan proses pembangunan di Bandar Baru Tunjong.

Semalam, Ibrahim mendedahkan, Nik Abdul Aziz memiliki 14 lot tanah seluas 1.76 hektar di kawasan bernilai tinggi di Bandar Baru Tunjong di sini yang dianggarkan berharga lebih RM4 juta.

Nilai tanah tersebut dikatakan boleh mencecah lebih RM10 juta sekiranya statusnya yang kini merupakan tanah pertanian ditukar kepada komersial, mengambil kira pelbagai projek pembangunan yang akan dilaksanakan di situ.

Ibrahim berkata, perkara tersebut mungkin tidak melanggar undang-undang, namun mempersoalkan di manakah sifat pemerintahan yang baik kerana menggunakan cara salah dari sudut moral dalam membuat keputusan.

“Semalam saya tidak kata tanah ini didapati secara menyeleweng tetapi dari segi moral tidak betul, saya cuma mohon penjelasan bagaimana Nik Abdul Aziz dan isterinya, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak memiliki tanah yang banyak kerana ia bertentangan dengan sifat yang dikatakan zuhud.

“Penjelasan sepatutnya dibuat oleh Nik Abdul Aziz sendiri, kenapa Takiyuddin yang perlu jelaskan, apabila mengelak memberi jawapan membuktikan bahawa beliau tidak layak untuk bertanding dan tidak mampu untuk mentadbir,’’ katanya.

Tambahnya, sebagai seorang peguam dan Exco kerajaan negeri, Takiyuddin tidak seharusnya menjawab isu ditimbulkan secara terburu-buru.

“Saya dedahkan kerana perlukan penjelasan, jangan melenting dan emosi. Saya melihat dia menjawab hanya mahu menutup perkara ini kerana ia sudah jadi isu pilihan raya," katanya.

Tegas Ibrahim, Nik Abdul Aziz atau Kerajaan Pas Kelantan juga perlu menjelaskan mengenai kedudukan tanah Tuan Sabariah sebanyak 13 lot di daerah ini.

“Saya juga hendak tahu Tuan Sabariah ini pemegang amanah PMBK atau pemegang amanah Menteri Besar? Jawapan yang diberikan oleh Takiyuddin tidak cukup dengan mengatakan ini hak peribadi, Takiyuddin tidak boleh cuci tangan dengan jawapan seperti itu," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment