My Add

Friday, 17 May 2013

Sekolah berhampiran jalan raya dicadang wujud 'warden trafik'

 *SEBAHAGIAN daripada murid Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian 3 yang menjayakan kempen Minggu Keselamatan Jalan Raya Peringkat Kelantan di Kubang Kerian, Kelantan, baru-baru ini.
KOTA BHARU, KHAMIS, 16 Mei, 2013: Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKR) Negeri Kelantan mencadangkan sekolah yang terletak berhampiran jalan raya menyediakan perkhidmatan 'warden trafik' bagi mengurangkan risiko kemalangan terutama membabitkan murid sekolah rendah.

Pengarahnya, Yusrina Md. Yusof berkata, cadangan tersebut perlu diambil serius oleh sekolah yang dikategorikan sebagai 'berisiko tinggi' kerana terletak berhampiran dengan jalan-jalan raya utama.

Beliau berkata, kedudukan sekolah yang terlalu hampir dengan jalan raya menyebabkan murid atau pelajar sangat terdedah kepada risiko kemalangan.

"Kami mencadangkan kepada sekolah yang berisiko tinggi terhadap perkara ini agar dapat melantik seorang warden trafik.

"Mungkin ia memerlukan kos tetapi dari segi jangka masa panjang ia memberi banyak kebaikan kepada pelajar setiap kali mereka ingin menggunakan kemudahan jalan raya di sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita kepada pada Majlis Pelancaran Minggu Keselamatan Jalan Raya Peringkat Negeri Kelantan di Kubang Kerian dekat sini, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Yusrina berkata, pengguna jalan raya terutama pemandu kenderaan juga perlu menanam sikap peka dengan memandu perlahan sebaik sahaja menghampiri kawasan sekolah bagi mengurangkan risiko kemalangan membabitkan pelajar.

Katanya, jika semua pihak berganding bahu, masalah tersebut tidak akan berlaku dan pelajar akan sentiasa berada dalam keadaan selamat.

Mengulas mengenai kempen tersebut, Yusnira berkata, ia diadakan bagi memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa mangsa kemalangan ketiga tertinggi di negara ini ialah pejalan kaki.

"Ramai yang tidak menyedari perkara ini dan disebabkan itulah kempen kali pihak kami mengetengahkan pejalan kaki supaya tahap kesedaran mereka dapat dipertingkatkan," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment