My Add

Friday, 17 May 2013

Usaha capai kedamaian, keharmonian

Oleh HUSSAINI AMRAN dan KAMIL MASLIH
 
 *RAJA Dr. Nazrin Shah menyampaikan ucaptama pada Forum Kedamaian dan Keselamatan 2013 di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IDFR) di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Wahidin Salim
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 16 Mei, 2013: Pemangku Sultan Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah, Islam memberi keutamaan kepada aspek kesejahteraan dan kemaslahatan seluruh umat manusia melangkaui batasan bangsa, etnik dan agama.

Titah baginda, ruang lingkup Islam yang amat luas itu merupakan asas kepada pemupukan konsep kesejahteraan sejagat yang turut mencakupi usaha memastikan kemaslahatan manusia di seluruh dunia.

Raja Nazrin bertitah, berhubung dasar luar negara, Islam juga lebih mementingkan kaedah rundingan dan penyelesaian damai berbanding peperangan, malah agama itu mengharamkan pembunuhan nyawa yang tidak berdosa serta pemusnahan harta benda.

"Pembangunan, kedamaian, keselamatan, keadilan dan harga diri adalah untuk semua insan tanpa mengira bangsa, jantina dan kepercayaan.

"Keseimbangan dalam memenuhi keperluan material dan rohani semua manusia seterusnya akan membawa kepada kesejahteraan serta kehidupan yang sempurna," titah baginda ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Kedamaian dan Keselamatan 2013 bertemakan 'Islam dan Diplomasi - Pencarian Untuk Keselamatan Manusia' di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IDFR) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Luar Qatar, Dr. Khalid Mohammad Al-Attiyah dan Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pengajian Tinggi Islam (IAIS), Prof. Dr. Mohammad Hashim Kamali.

Dalam titahnya, baginda turut menyeru umat Islam di seluruh dunia mencontohi kejayaan Nabi Muhammad SAW membawa keamanan dan kedamaian kepada kabilah-kabilah dan kaum-kaum yang berperang sesama sendiri di semenanjung Arab.

Raja Nazrin bertitah, kejayaan itu seharusnya dijadikan inspirasi bagi menjayakan usaha meredakan perbalahan dalam kalangan negara dan umat Islam serta menjadikan hubungan mereka dalam keadaan harmoni.

"Usaha ini amat penting bagi menyelesaikan konflik-konflik yang berlaku di Asia Barat dan Afrika Utara yang menyaksikan perpecahan antara pengikut mazhab Sunni dan Syiah serta persengketaan antara puak yang memecah-belahkan mereka sehingga mengakibatkan berlaku konflik sesama mereka.

"Situasi yang berlaku di Syria, Iraq dan Afghanistan yang turut melibatkan campur tangan negara-negara Islam dan kuasa-kuasa asing adalah bertentangan dengan matlamat kedamaian yang dianjurkan Islam," titah baginda.

Baginda bertitah, negara-negara Islam juga perlu berganding bahu bagi membantu orang Islam yang dianggap sebagai kumpulan minoriti di Myanmar, selatan Filipina dan selatan Thailand.

"Inisiatif ini boleh dilakukan secara individu atau secara kolektif melalui Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Bank Pembangunan Islam (IDB)," titah baginda.

Titah Raja Nazrin, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan pembangunan modal insan dan kesejahteraan manusia hendaklah diperkasakan di negara-negara Islam.

"Peranan NGO-NGO terbabit amat penting dalam aspek pendidikan, penjagaan kesihatan, kebajikan, perlindungan wanita dan kanak-kanak, pencegahan jenayah serta pemuliharaan alam sekitar," titah baginda. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment