My Add

Monday, 20 May 2013

SPNB hina kemampuan kontraktor Melayu

KUALA LUMPUR, AHAD, 19 Mei, 2013: Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) kesal dan kecewa dengan pihak pengurusan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) yang didakwa mengeluarkan kenyataan menggambarkan seolah-olah orang Melayu tidak mampu menjadi kontraktor berjaya.

Presiden PKMM, Datuk Mokhtar Samad (gambar) berkata, sebagai sebuah agensi kerajaan, SPNB sepatutnya lebih profesional dalam mengeluarkan kenyataan supaya tidak dilihat menghina kemampuan kontraktor Melayu.

Menurut beliau, SPNB sepatutnya mengkaji punca kegagalan kontraktor Melayu di bawah agensi mereka kerana terdapat kira-kira 28,000 kontraktor Melayu kelas F yang menjalankan kerja-kerja dengan Jabatan Kerja Raya (JKR), badan berkanun dan pelbagai agensi kerajaan lain terbukti dapat melaksana tugas dengan baik.

"Jika kontraktor Melayu itu boleh menyiapkan kerja-kerja tersebut yang bernilai RM5 bilion, sudah pasti ada yang tidak kena dengan cara kerja SPNB sehingga ramai kontraktor Melayu gagal menyiapkan kerja di bawah agensi tersebut.

"Bukan kontraktor Melayu tidak boleh ditegur tetapi sepatutnya kontraktor kelas F yang masih baru dilatih serta diberi peluang, bukannya dihina seperti itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Pengarah Urusan SPNB, Datuk Dr. Kamarul Rashdan Salleh mendedahkan jumlah kontraktor kelas F yang disenarai hitam agensi itu meningkat lebih enam kali ganda atau sebanyak 640 peratus iaitu kepada 888 kontraktor tahun lalu berbanding hanya 120 pada 2011.

Menurut beliau, kontraktor-kontraktor itu terpaksa disenarai hitam selepas projek yang dijalankan terbengkalai meskipun SPNB memberi banyak kelonggaran termasuk tempoh lanjutan.

Sementara itu, Mokhtar turut menggesa Kamarul Rashdan meletak jawatan dalam SPNB kerana tidak menjalankan tugas dengan baik serta gagal membantu kontraktor Melayu.

Dalam masa sama, katanya, PKMM sedia bekerjasama dengan SPNB dalam isu itu dan jika ada keperluan pihaknya sendiri akan menyiasat sekiranya dakwaan tersebut benar.

Walau bagaimanapun, tegas beliau, sekiranya masalah itu berpunca kelemahan pengurusan SPNB sendiri, PKMM tidak teragak-agak mendedahkan perkara tersebut kepada umum. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment