Pembangunan seimbang buat rakyat
KUCHING, AHAD, 19 Mei, 2013: Pembangunan infrastruktur perlu dipertingkatkan di Sabah dan Sarawak bagi memastikan rakyat menikmati kemajuan sama serta seimbang dengan negeri-negeri lain di Semenanjung.
Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof berkata, pemilihan beliau yang merupakan anak Sarawak untuk menerajui kementerian itu secara tidak langsung membuktikan kesungguhan kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan agenda tersebut.
"Saya diberi sebuah portfolio yang amat relevan dengan negeri ini dan keadaan ini sudah tentu ada hubung kait dengan aku janji BN (Barisan Nasional) yang mahu memastikan infrastruktur di Sabah dan Sarawak ditambah baik.
"Esok saya akan mendengar taklimat kementerian serta agensi-agensi mengenai strategi kita dan dalam masa sama, cuba mencari pendekatan untuk Sabah dan Sarawak kerana dalam konteks infrastruktur, keadaannya sedikit unik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat kunjungan hormat kepada Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim; Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Douglas Uggah Embas; Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Syukri; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi.
Mengulas lanjut, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya memberitahu, selain bekerjasama dengan agensi-agensi di bawah kementerian serta golongan profesional, beliau juga akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri supaya dapat menyelaraskan setiap projek dengan lebih berkesan.
"Antara perkara utama yang dibincangkan ketika bertemu Ketua Menteri adalah harapan beliau supaya kita dapat menangani isu-isu nasional dengan baik tanpa mengabaikan kepentingan Sabah dan Sarawak.
"Beliau juga meminta menteri-menteri yang baharu dilantik membawa inspirasi kerajaan negeri ke peringkat Pusat mengenai perkara-perkara tertentu yang mungkin perlu disesuaikan dengan keadaan di negeri ini," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment