My Add

Thursday, 23 May 2013

Takaful Malaysia yakin prestasi

Oleh ABDUL YAZID ALIAS

SHAH ALAM, RABU, 22 Mei, 2013: Takaful Malaysia Bhd. (Takaful Malaysia) yakin dapat mencapai sasaran tambahan penguasaan melebihi 20 peratus pasaran insurans, sekali gus menjadikan syarikat itu peneraju dalam sektor tersebut di negara ini pada masa depan.

Pengarah Urusan Kumpulan Takaful Malaysia, Datuk Mohamed Hassan Kamil berkata, keyakinan itu berdasarkan prestasi pada suku keempat tahun lalu menyaksikan syarikat itu menguasai 40 peratus pasaran sektor tersebut.

Beliau berkata, prestasi tersebut juga disokong dengan pertumbuhan kukuh dalam perniagaan takaful kumpulan, penerimaan jenama Takaful Malaysia serta prestasi cemerlang yang berterusan menerusi aktiviti pelaburan.

"Industri insurans di negara ini dilihat semakin positif dengan perkembangan di antara 20 hingga 25 peratus setiap tahun dan kita (Takaful Malaysia) yakin akan mendahului kadar perkembangan tersebut.

"Kita mahu jadikan syarikat ini sebagai pemain nombor satu dalam sektor pasaran insurans negara, yang mana tumpuannya bukan hanya membabitkan pembangunan produk dan pelaburan tetapi juga melibatkan usaha mendidik orang ramai mengenai insurans berasaskan Islam.

''Justeru, setakat ini kita menguasai kira-kira 40 peratus dalam sektor pasaran insurans di negara ini dan untuk mencapai sasaran kita sebagai syarikat insurans peneraju, kita yakin dapat mencapai sasaran 20 peratus lagi dalam sektor pasaran pada masa depan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kempen 'Kita Perlu Berbincang' di Seksyen 13 di sini hari ini.

Kempen itu merupakan usaha firma takaful itu untuk mendekati pelanggan selain memperkukuhkan jenama Takaful Malaysia.

Mohamed Hassan, Takaful Malaysia merekodkan keputusan cemerlang bagi tahun kewangan berakhir 2012 dengan peningkatan keuntungan selepas cukai dan zakat sebanyak RM100.1 juta iaitu pada kadar 31 peratus berbanding RM76.4 juta pada tahun kewangan sebelum ini.

Selain itu, katanya, Takaful Malaysia sedang memperhebatkan usaha untuk menarik lebih daripada dua juta pelanggan menerusi pelaksanaan kempen 'Kita Perlu Berbincang' yang dilancarkan pada April tahun lalu.

Katanya, kempen melibatkan pelaburan RM2 juta setahun itu meliputi pengedaran 1.3 juta risalah termasuk pengiklanan itu menawarkan tambahan lima peratus rebat tanpa tuntutan (NCR) kepada para pelanggan Takaful Malaysia iaitu merangkumi produk bukan bermotor bagi sijil berakhir 2013.

Beliau memberitahu, tambahan NCR itu merupakan antara komitmen syarikat berkenaan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada para pelanggan berasaskan prinsip perkongsian untung yang tidak pernah diberikan oleh mana-mana syarikat insurans lain di negara ini.

Selain itu, kata Mohamed Hassan, Takaful Malaysia turut menawarkan rebat sebanyak 15 peratus kepada para pelanggannya bagi produk bermotor. Kadar itu tidak termasuk potongan bonus tanpa tuntutan (NCB) maksimum 55 peratus.

"Biasanya, setiap individu yang memiliki kenderaan bermotor, pada masa sama juga memiliki rumah. Justeru, kita kembangkan NCR itu kepada produk bukan bermotor," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment