My Add

Saturday, 18 May 2013

Terkejut namun sedia pikul amanah

KUCHING, JUMAAT, 17 Mei, 2013: Walaupun masih terkejut dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung pelantikan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Rabu lalu, Nancy Shukri sudah bersedia memikul amanah dan tanggungjawab baharu itu.

Ahli Parlimen Batang Sadong berkata, meskipun belum mengetahui portfolio yang akan dipegang, beliau sentiasa optimis untuk terus menyumbang bakti kepada masyarakat.

Menurutnya, hala tuju utama yang ingin diusahakan adalah meningkatkan infrastruktur di seluruh negara terutama di Sarawak.

"Saya masih terkejut, namun telah bersedia melakukan yang terbaik seperti yang diamanahkan pucuk pimpinan tertinggi dan rakyat.

"Saya akan menggunakan kelebihan yang ada sepanjang berkhidmat di Sarawak untuk menyediakan lebih banyak kemudahan awam dan infrastruktur di kawasan luar bandar," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nancy yang juga ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, beliau akan berpindah ke Kuala Lumpur dalam tempoh terdekat bagi memastikan tugas baharu yang dipikulnya itu berjalan lancar.

Bagaimanapun katanya, tanggungjawab terhadap kawasan dan masyarakat di Batang Sadong tidak akan diabaikan.

Katanya, menjadi harapan beliau semua pihak baik di peringkat Persekutuan, negeri dan masyarakat setempat terus memberi sokongan tanpa berbelah bahagi kepadanya serta kesemua anggota barisan Kabinet baharu dalam menjalankan tanggungjawab. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment