My Add

Tuesday, 21 May 2013

Ugut Tunku Aziz untuk alih perhatian umum

KUALA LUMPUR, ISNIN, 20 Mei, 2013: Tindakan pemimpin DAP 'mengugut' bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim supaya berhenti mendedahkan kepincangan parti itu dipercayai untuk menyembunyikan masalah dalaman parti itu.

Malah, cubaan itu dipercayai untuk mengalih perhatian umum daripada terus mendesak kepimpinan parti tersebut mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) yang diselubungi pelbagai kontroversi.

Bekas Ketua Cawangan DAP Pantai Sepang, R. Vellasamy berkata, tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singh mengecam Tunku Abdul Aziz supaya berhenti membuat sebarang pendedahan berhubung parti itu menimbulkan pelbagai kemusykilan.

Katanya, sehingga kini, Karpal serta Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng masih enggan menyatakan pendirian berhubung desakan ahli-ahlinya sendiri supaya diadakan semula pemilihan CEC.

"Mengapa semua pemimpin DAP sering mengelak bercakap tentang perkara ini tetapi lebih agresif mengkritik dan mengugut pihak lain? Ini membuktikan amalan demokratik mereka hanya pada nama," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Vellasamy mengulas kedegilan pemimpin DAP mengadakan semula pemilihan CEC walaupun didesak ahli parti itu sendiri sebaliknya lebih menonjol dalam mengkritik pihak lain terutama Tunku Abdul Aziz.

Menurut Vellasamy, tindakan Karpal itu membuktikan ketelusan yang sering dijaja DAP selama ini tidak lebih daripada slogan memperdaya masyarakat kononnya parti itu bersih.

Sementara itu, bekas Setiausaha Publisiti DAP Cawangan Taman Nesa, Skudai, A. K. Murugan mempersoal tindakan Guan Eng yang masih bermain 'tarik tali' dalam isu pemilihan semula CEC walaupun didesak ahli akar umbi.

Beliau turut menempelak Guan Eng kerana terus berdegil dengan arahan ROS supaya mengadakan semula pemilihan CEC seolah-olah mahu menunjukkan kepada orang ramai beliau kebal daripada tindakan undang-undang.

"Bagaimana rakyat mahu menghormati wakil rakyat yang enggan mematuhi undang-undang seperti ini?," katanya.

Katanya, Karpal dan Guan Eng sepatutnya berani mengadakan semula pemilihan CEC jika yakin tidak wujud manipulasi. - UTUSAN hd

No comments:

Post a Comment