My Add

Sunday, 2 June 2013

Masyarakat perlu bersatu tentang jenayah - MCPF

KUALA LUMPUR, AHAD, 02 Jun, 2013: Rakyat Malaysia perlu bersatu untuk mencegah jenayah, yang kini menjadi kebimbangan utama masyarakat di negara ini.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, tindakan sesetengah anggota masyarakat menyalahkan polis tidak akan membantu menyelesaikan masalah itu dan sebaliknya mereka perlu berkongsi idea dan bekerjasama untuk membasmi ancaman itu.

"Jenayah kejam perlu diberi perhatian serius, bukan saja oleh kerajaan, agensi penguatkuasaan dan badan kehakiman, tetapi juga oleh seluruh anggota masyarakat," katanya apabila dihubungi hari ini.

Lam Thye juga menyeru rakyat Malasyia daripada pelbagai lapisan supaya berganding bahu untuk membanteras jenayah.

"Memang tidak dapat dinafikan bahawa peningkatan pelaksanaan penguatkuasaan undang-undang serta rondaan bersama dengan agensi lain telah berjaya mengurangkan jenayah jalanan dan jenayah lain, namun semua ini tidak mungkin terhasil tanpa kerjasama dan penyertaan masyarakat serta pelbagai NGO seperti MCPF," katanya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar baru-baru ini berkata, Jabatan Pencegahan Jenayah yang ditubuhkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melibatkan penyertaan seluruh anggota masyarakat, sejajar dengan sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk mengurangkan jenayah di negara ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment