My Add

Monday, 23 September 2013

2 lelaki didenda kerana tahan, pecah cermin bas semasa PRU-13

KLANG, ISNIN, 23 September, 2013: Dua lelaki masing-masing didenda RM700 dan RM7,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menahan serta memecahkan cermin sebuah bas di Pandamaran pada 5 Mei lepas.

Majistret Mohd Fadhly Yaacob menjatuhkan hukuman itu ke atas penjual telefon bimbit Gew Chen Hsiang, 32, dan juruteknik pendingin hawa Chua Kian Boon, 21, selepas kedua-dua tertuduh menukar pengakuan masing-masing kepada bersalah.

Gew didakwa bersama-sama empat lagi yang masih bebas menahan secara salah bas Wawasan Sutera T&T Sdn Bhd dinaiki 23 penumpang di Jalan Sijangkang pada kira-kira 3.45 petang mengikut Seksyen 341 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara sebulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Chua pula didakwa bersama-sama beberapa individu lain yang masih bebas terlibat dalam rusuhan dan menggunakan batu sebagai senjata untuk memecahkan cermin bas berkenaan di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya Mahmoodah Abd Latiff manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam V. Murali dan C.Y. Ng.

Gew dan Chua membayar denda. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment