My Add

Monday, 23 September 2013

2.6 juta hidap kencing manis - Subramaniam

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
 
 *S. SUBRAMANIAM (kanan) merasmikan Kempen Kesedaran Diabetes dan Gaya Hidup Sihat Kawasan Parlimen Segamat di Dewan Orang Ramai Buloh Kasap, Segamat, Johor, semalam.
SEGAMAT, AHAD, 22 September, 2012: Seramai 2.6 juta orang atau 15 peratus daripada kira-kira 28 juta penduduk negara ini menghidap penyakit kencing manis atau diabetes ekoran pengambilan gula dalam makanan dan minuman secara berlebihan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, jumlah itu tidak termasuk anggaran dua juta lagi rakyat yang enggan membuat pemeriksaan kesihatan di hospital dan klinik kerajaan untuk mengesahkan keadaan kesihatan mereka.

"Kencing manis menjadi masalah besar kepada negara kerana mereka yang terlibat akan mengalami masalah penglihatan, penyakit buah pinggang dan penyakit lain berkaitan dengan gaya hidup.

"Terdapat 16,000 pesakit buah pinggang kini menunggu mendapatkan pemindahan organ daripada penderma yang purata hanya antara 40 hingga 50 orang menderma organ itu setiap tahun," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Kesedaran Diabetes dan Gaya Hidup Sihat Kawasan Parlimen Segamat di Dewan Orang Ramai Buloh Kasap, dekat sini hari ini.

Justeru, beliau mencadangkan kerajaan merasionalisasikan subsidi gula sebagai langkah mengurangkan penggunaan bahan itu dalam usaha membendung peningkatan penghidap diabetes yang semakin meningkat setiap tahun.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Segamat berkata, pengurangan subsidi harga gula boleh dilakukan secara berperingkat-peringkat sehingga rakyat bersedia untuk mengurangkan penggunaan gula dalam kehidupan harian mereka.

"Bagaimanapun pada peringkat awal, mereka terlibat dalam perniagaan makanan yang banyak menggunakan gula dikecualikan daripada pemotongan subsidi ini," katanya.

Sejajar dengan langkah itu, beliau mengajak peniaga makanan dan minuman tidak meletak gula dalam minuman yang dipesan pelanggan untuk menggalakkan masyarakat kurang menggunakan bahan tersebut, sebaliknya menyediakan gula dalam bekas berasingan supaya pelanggan boleh membuat pilihan sama ada mahu mengambil gula atau sebaliknya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Hospital Daerah Segamat akan menambah tiga pakar lagi iaitu pakar mata, patologi dan hidung serta telinga dalam usaha menaik taraf hospital tersebut sebagai sebuah hospital pakar.

Setakat ini, hospital tersebut menyediakan 13 doktor pakar dalam bidang masing-masing untuk memberi perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di daerah ini dan sekitarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment